KUALA LUMPUR:Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 58,813 pemeriksaan pada Ahad bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 2,551 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,601 anggota telah membuat pemantauan di 3,330 pasar raya, 4,181 restoran serta 1,502 penjaja, 1,122 kilang, 3,419 bank dan 550 pejabat kerajaan.

Turut dipantau, sebanyak 1,494 terminal pengangkutan darat, 209 terminal pengangkutan air serta 101 terminal pengangkutan udara.

Berikut adalah fokus utama kenyataan media beliau pada Isnin, 28 September 2020:

1. PDRM telah menahan 661 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 648 individu telah dikompaun manakala 13 direman.

2. Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub dan kelab malam (577), penjarakan fizikal (42), tidak memakai pelitup muka (30), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (lapan), premis beroperasi lebih masa (tiga) dan gagal mematuhi arahan kuarantin di rumah (satu).

3. Operasi Benteng telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 40 pendatang tanpa izin (PATI), lima tekong dan seorang penyeludup. Turut berjaya dirampas sembilan kenderaan darat. Sebanyak 81 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam.

4. Seramai 8,235 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 103 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 28,006 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

5. Sebanyak 12 operasi sanitasi meliputi dua zon Merah, dua zon Kuning dan enam zon Hijau yang melibatkan lima buah negeri antaranya Kedah (lima operasi), Sabah (tiga operasi), Pulau Pinang (dua operasi), Sarawak (satu operasi) dan Pahang (satu operasi).