KUALA LUMPUR: Sebanyak 69 kes kematian dalam lokap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sejak 2016 hingga September 2021.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, daripada jumlah tersebut, 13 kematian direkod pada 2016; 14 (2017); 10 (2018); sembilan (2019); 13 (2020); serta 10 (2021).

Mengikut pecahan kaum pula, beliau berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 33 kematian melibatkan  Melayu; 13 (India); 10 (Cina); satu (lain-lain bangsa); manakala sembilan lagi melibatkan warga asing.

"Bagi tempoh dari 1 Januari hingga 30 September 2021, sebanyak sepuluh orang kes kematian dalam lokap PDRM dilaporkan.

"Daripada jumlah ini, empat kematian melibatkan lelaki Melayu iaitu dua Perak, satu Pahang dan satu Pulau Pinang, manakala satu kematian melibatkan perempuan Melayu di Johor.

"Dua kematian melibatkan lelaki Cina iaitu masing-masing satu di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Kematian melibatkan dua lelaki India masing-masing dilaporkan di Melaka dan Selangor, manakala satu kematian melibatkan warganegara asing dilaporkan di Sabah," katanya ketika sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata sehingga kini, mahkamah telah memerintahkan satu kes dalam prosiding inkues dan sembilan kes lagi masih dalam siasatan.

Justeru tegasnya, berdasarkan statistik sedia ada, tidak ada sebarang diskriminasi berlaku terhadap mana-mana kaum semasa orang kena tahan (OKT) berada dalam tahanan PDRM, dan peratusan kematian dalam lokap adalah sangat kecil.

Dalam masa yang sama, beliau menambah kementerian sedang dalam proses menambahbaik pengurusan lokap PDRM dengan menambahbaik pemeriksaan kesihatan tahanan-tahanan melalui pelantikan panel klinik swasta.

Melalui kaedah tersebut katanya, pemeriksaan tahap kesihatan tahanan dapat dibuat dengan segera sebelum tahanan dimasukkan ke dalam lokap.

"Berkenaan status pemasangan kamera litar tutup (CCTV) dalam semua lokap balai polis pula, kontrak pemasangan CCTV di lokap-lokap PDRM dipecahkan kepada lima iaitu zon Utara, Selatan, Timur, Sabah dan Sarawak.

"Projek pemasangan CCTV lokap PDRM dijangka akan selesai pada akhir tahun ini," ujarnya.