MARAN: Sebanyak 80 peratus dari lebih 14,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diarah bertugas dalam Op Raya Aidilfitri tahun ini.

Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, baki 20 peratus lagi dibenarkan bercuti setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk pernah bertugas pada raya tahun lepas.

Tambahnya, bagaimanapun anggota yang sedang bercuti boleh dihubungi untuk kembali bertugas serta-merta apabila diarahkan oleh Ketua Balai.

"Tahun ini kita izinkan lebih kurang 20 peratus cuti dan 80 peratus lagi masih bertugas namun demikian 20 peratus ini walau pun bercuti tetapi mereka boleh dipanggil pada bila-bila masa.

“Maknanya kita beri kelonggaran mereka yang tahun yang tidak bercuti dan sebagainya kita bagi ruang namun tugas rasmi yang jalankan akan tidak mereka abaikan,” katanya sempena pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran dan Op Raya di sini hari ini.

Beliau berkata, pegawai dan anggota akan membuat rondaan  berkala di kawasan yang dikenal pasti kawasan sering berlaku kebakaran terbuka dan kawasan rekreasi tumpuan orang ramai sempena cuti sekolah serta cuti perayaan.

Menurutnya, bomba turut membuka Bilik Gerakan negeri bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan pertambahan kes mendadak.

Bilangan kes kebakaran dalam tempoh 15 hari Op Raya Aidilfitri 2020 adalah sebanyak 966 kes dan ia meningkat pada 2021 dengan sebanyak 1,108 kes dilaporkan.