KUALA LUMPUR: 81 peratus daripada 464 kes yang dilaporkan kepada Pusat Memudah Cara Pelaburan Malaysia (IMFC) telah diselesaikan dan berjaya mempercepat proses realisasi pelaburan-pelaburan yang diumumkan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata angka itu sangat membanggakan bagi sebuah agensi yang baru ditubuhkan sejak Januari lalu.

“Kita mahu bersikap telus. Kita tubuhkan baru-baru ini Pusat Memudah Cara Pelaburan Malaysia (IMFC) yang akan buat laporan mengenai isu yang telah dibangkitkan.

“IMFC yang baru sahaja ditubuhkan atas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember 2023, dan setakat suku pertama 2024 ini ada 464 kes dilaporkan. Dari jumlah itu, 376 kes atau 81 peratus daripadanya telah diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Selain IMFC, Tengku Zafrul turut memaklumkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga mempunyai Pejabat Pelaksanaan Projek dan Implementasi (TRACK) yang melaporkan prestasi pelaksanaan pelaburan yang diumumkan.

Katanya, setakat ini 802 kes yang dilaporkan kepada TRACK telah dimudah cara sejak penubuhannya.

Menyentuh lebih lanjut mengenai pelaburan diluluskan yang telah berjaya direalisasikan sepenuhnya, Tengku Zafrul menjelaskan daripada 2,400 projek pembuatan yang diluluskan, lebih 1,800 atau 75 peratus projek telah dilaksanakan.

81 peratus kes dilaporkan kepada IMFC selesai, percepat realisasi pelaburan - Menteri MITI