Skip to main content

Malaysia

8,484 anjing liar berjaya dimandulkan menerusi program TNR sejak 2017

51566565150_AnjingSedih.jpg
Sebanyak 8,484 ekor anjing liar dan terbiar berjaya dimandulkan menerusi program perangkap, mandulkan dan lepaskan (TNR) hasil kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Pertubuhan Bantuan Antarabangsa Bagi Perlindungan dan Kebajikan Binatang (IAPWA) sejak 2017 hingga Mei lepas.
Advertisement

GEORGE TOWN: Sebanyak 8,484 ekor anjing liar dan terbiar berjaya dimandulkan menerusi program perangkap, mandulkan dan lepaskan (TNR) hasil kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Pertubuhan Bantuan Antarabangsa Bagi Perlindungan dan Kebajikan Binatang (IAPWA) sejak 2017 hingga Mei lepas.

Presiden IAPWA Pulau Pinang Choong Koon Yean berkata kerjasama lebih lapan tahun itu terus diperkukuh bagi memastikan kebajikan haiwan terbiar sentiasa terpelihara.

“Anjing yang berjaya diselamatkan akan diuruskan IAPWA Pulau Pinang menerusi pendekatan TNR/Rehome termasuk mendapatkan vaksinasi dan rawatan veterinar sewajarnya sebelum tindakan susulan berkaitan penjagaan serta penempatan semula dilaksanakan,” menurutnya dalam kenyataan MBPP di Facebook hari ini.

MBPP memaklumkan program itu ialah antara usaha berterusan kedua-dua pihak dalam mengurus populasi anjing liar dan terbiar secara sistematik, mampan serta berperikemanusiaan, dan kerjasama strategik dengan IAPWA Pulau Pinang diperkukuh menerusi pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) pada 22 Mei lepas bagi tempoh lima tahun lagi.

Menurut MBPP, pembaharuan MoU itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam menjaga kebajikan haiwan di samping membantu mewujudkan persekitaran bandar lebih selamat, bersih dan harmoni untuk komuniti.

Sementara itu, Ahli Majlis MBPP Tan Soo Siang bersama dengan pasukan IAPWA Pulau Pinang semalam menjalankan operasi menyelamat seekor anjing liar di Jalan Sungai Ara 1 selepas haiwan berkenaan dikesan ketika lawatan ke kawasan tersebut pada 24 Julai lepas.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement