Sebanyak 85 kes pemandu kenderaan persendirian yang mengambil penumpang tanpa permit dihadapkan ke mahkamah sejak 2014.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata ia termasuk kesalahan daripada pemandu perkhidmatan Uber dan GrabCar.

"Kita sudah ambil tindakan ke atas 85 kes ke mahkamah. Masalahnya adalah mereka ini tidak ada lesen dan melanggar undang-undang.

"Jika ada kemalangan, penumpang tidak akan dilindungi," katanya semasa sidang media selepas majlis perasmian kenderaan operasi mudah alih SPAD di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini hari ini.

Kenderaan mudah alih yang dilengkapi dengan kamera perakam video, kamera litar tertutup (CCTV), kamera visual malam, kemudahan internet, awning automatik dan pelbagai kemudahan lain itu dilihat menjadi salah satu kelebihan kepada SPAD sendiri menjelang musim perayaan ini.

BACA: 'GrabCar kacau periuk nasi kami' - Pemandu teksi

Pada Isnin, lebih 100 pemandu teksi sekitar Lembah Klang mengadakan perhimpunan hari ini bagi membantah kewujudan perkhidmatan 'GrabCar' yang diperkenalkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan teksi atas talian, MyTeksi.

Ia kerana perkhidmatan tersebut didakwa menjejaskan pendapatan pemandu teksi bertauliah dan mewujudkan ketidakadilan dalam industri perkhidmatan teksi di Malaysia.

Terdahulu Syed Hamid menjelaskan, penggunaan kenderaan persendirian tanpa permit SPAD adalah kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Aplikasi itu tidak menyalahi undang-undang namun jika pemandu itu menggunakan kenderaan persendirian tanpa permit, maka ia menjadi satu kesalahan," jelasnya.