Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 86 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 75 individu dikenakan kompaun dan 11 lagi direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (30), tidak memakai pelitup muka (2), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (53) serta seorang pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 60,918 pemeriksaan semalam (Jumaat, 21 Ogos) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 4,814 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 16,983 anggota telah membuat pemantauan di 3,988 pasar raya, 5,188 restoran serta 1,026 penjaja, 1,668 kilang, 3,617 bank dan 925 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 1,069 terminal pengangkutan darat, 243 terminal pengangkutan air serta 109 terminal pengangkutan udara," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, PDRM juga telah mengadakan 63 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 28,729 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," tambahnya.

Mengenai Op Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan (KPKT), sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 9,694 operasi sanitasi merangkumi 134 zon.

"Sebanyak 12,867 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,699 pusat perniagaan, 5,662 bangunan kerajaan, 1,594 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,558 tempat awam dan 354 pasar raya," kata beliau.

Semalam, 12 operasi sanitasi meliputi 10 Zon termasuk 2 Zon Kuning dan 8 Zon Hijau yang melibatkan 6 buah negeri antaranya Sabah (4 operasi), Melaka (3 operasi), Sarawak (2 operasi), Pahang (1 operasi)), Johor (1 operasi), dan Perlis (1 operasi).

"Operasi sanitasi ini melibatkan 49 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 43 dari agensi-agensi lain. 7 jentera JBPM turut terlibat dalam Operasi Sanitasi Awam," tambahnya.