Skip to main content

Malaysia

8,672 teks dan bahan al-Quran bernilai RM2.7 juta dilupuskan - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution KDN_Astro AWANI
Saifuddin Nasution ketika ditemui pemberita hari ini. -Gambar Astro AWANI

PELABUHAN KLANG: Sebanyak 8,672 teks dan bahan berkaitan al-Quran bernilai RM2.7 juta telah dilupuskan menerusi proses pemurnian yang melibatkan pelepasan bongkah abu seberat 1.5 tan ke dalam laut di perairan berhampiran Pelabuhan Klang, pada Jumaat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelupusan tersebut dilaksanakan selepas melalui proses pemurnian yang ketat, termasuk pengoyakan, pengisaran, penghancuran dan pembakaran sehingga bahan berkenaan menjadi bongkah.

Advertisement

Menurut beliau, bongkah abu itu kemudiannya dilepaskan ke laut mengikut garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan kesucian dan kehormatan al-Quran terus terpelihara.

“Proses pemurnian ini memerlukan kebenaran mahkamah serta kelulusan daripada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran sebelum sebarang pelupusan dilakukan.

“Ia merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan KDN dalam memastikan kesahihan serta ketulenan teks al-Quran di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, program tersebut dilaksanakan di lokasi kira-kira 13 batu nautika dari daratan, pada kedalaman sekitar 10 meter, menggunakan Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), selaras dengan garis panduan pelupusan yang ditetapkan oleh KDN melalui Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ).

Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan bahawa tidak semua pelupusan berpunca daripada pelanggaran undang-undang, sebaliknya turut melibatkan mushaf yang rosak akibat bencana seperti banjir dan kebakaran.

“Bagi kes seperti ini, terdapat kaedah khusus yang perlu dipatuhi bagi memastikan pelupusan dilakukan secara tertib dan menghormati kesucian al-Quran,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa KDN turut melaksanakan inisiatif kesedaran awam menerusi program Jom Exchange Al-Quran, yang membolehkan orang ramai menukar mushaf lama kepada mushaf baharu secara percuma.

“Program ini juga telah diiktiraf oleh Malaysian Book of Records sebagai ‘the largest Quran exchange’,” katanya.

Tambah beliau, gabungan usaha pemurnian serta pendidikan masyarakat itu mencerminkan pendekatan menyeluruh KDN dalam memelihara kesucian al-Quran.

“Usaha ini akan terus diperkukuh selaras dengan peruntukan Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986, demi kemaslahatan umat Islam di negara ini,” katanya.

Must Watch Video