Skip to main content

Malaysia

88 Captains agih biasiswa lebih RM1 juta, perkasa pembangunan bakat

Sumber: PEJABAT KETUA MENTERI
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow (tengah) bersama kepimpinan 88 Captains memegang replika cek dana pada Majlis Makan Malam Amal Tahunan 88 Captains 2026, di George Town, malam tadi. - Gambar Pejabat Ketua Menteri
Advertisement

GEORGE TOWN: Persatuan Kebajikan 88 Kapten Pulau Pinang (88 Captains) menganugerahkan biasiswa bernilai lebih RM1 juta kepada 44 pelajar daripada lima institusi pendidikan sebagai sebahagian usaha berterusan memperkasakan bakat muda dan menyumbang kepada pembangunan pendidikan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ooi Eng Hock berkata, pemberian biasiswa itu bukan sahaja meringankan beban kewangan pelajar, malah menjadi pemangkin untuk mendorong golongan muda memasang impian lebih besar, berusaha lebih gigih dan akhirnya menyumbang kembali kepada masyarakat dengan sikap serta sahsiah yang baik.

Beliau berkata, persatuan juga kekal komited merapatkan jurang antara akademia dengan industri menerusi program Perantisan, Latihan Industri, Latihan Semula dan Peningkatan Kemahiran (AIRU) yang dilancarkan tahun lepas di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

“Kami menubuhkan pasukan petugas khusus di bawah 88 Captain Young Fellowship yang diterajui penerima biasiswa cemerlang dari USM, ViTrox College, Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) serta INTI International University.

“Mereka akan bertemu ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengasas syarikat untuk memahami jangkaan industri, selain berkongsi aspirasi serta perspektif graduan masa kini, termasuk mengenai cadangan gaji permulaan minimum RM4,000 untuk graduan,” katanya pada Majlis Makan Malam Amal Tahunan 88 Captains 2026, di sini, malam tadi.

Majlis yang berjaya mengumpul dana berjumlah RM1.89 juta itu diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah serta Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Ooi berkata, sepanjang empat tahun lepas, 88 Captains telah menganjurkan lebih 50 acara selain melaksanakan pelbagai inisiatif kemasyarakatan termasuk menyumbang televisyen pintar kepada sekolah rendah dan menengah, mewujudkan Perpustakaan Digital Pendidikan 5G di 88 sekolah serta menyokong Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Sementara itu, Chow memuji komitmen 88 Captains dalam memperkasakan pendidikan dan pembangunan bakat menerusi pemberian biasiswa, inisiatif pembelajaran digital serta jalinan kerjasama dengan sekolah, universiti dan industri.

Beliau berkata, program AIRU yang memperkukuh hubungan antara sektor pendidikan dengan industri turut menyokong aspirasi Pulau Pinang untuk muncul sebagai peneraju dalam bidang pembuatan termaju, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.

“Saya juga memuji 88 Captains dan rakan kerjasamanya atas pelancaran inisiatif Pembangunan Bersama Kesihatan Mental di Sekolah dengan Pendidikan Awal AI bagi Penggunaan Bertanggungjawab (Joint Mental Health Development in Schools with AI Early Education for Responsible Adoption) pada awal minggu ini.

“Inisiatif ini dilaksanakan tepat pada masanya susulan pengenalan Akta Antibuli 2026.

“Walaupun undang-undang menyediakan kerangka perundangan, usaha pencegahan bergantung kepada sekolah, keluarga dan komuniti. Kita perlu memperkasakan guru, menyokong pelajar serta menggalakkan penggunaan AI secara bertanggungjawab,” katanya.

Ditubuhkan pada 2022, 88 Captains merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kebajikan yang bertujuan menyokong pembangunan bakat menerusi bantuan kewangan kepada pelajar yang layak di Pulau Pinang dan Wilayah Utara.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement