GEORGE TOWN: Sebanyak 90,000 tan makanan dibazirkan dan dibuang di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan pada tahun lalu.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader berkata, kajian menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata pada bulan-bulan lain.

Menurutnya, Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat bagi umat Islam tetapi bagi sesetengah orang, ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan.

"Islam menyuruh umatnya untuk mengelakkan bersikap rakus, membazir dan boros. CAP menggesa orang ramai tidak membazirkan makanan ketika Ramadan kerana kajian menunjukkan, berlaku peningkatan peratusan dalam pembaziran makanan ketika Ramadan.

"Ada sesetengah orang makan dan minum begitu banyak sehingga menjadi malas dan mengabaikan untuk melakukan kewajipan solat mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Mohideen, kerakusan atau bersikap lahap juga boleh memberi kesan sampingan kesihatan yang serius seperti diabetes, penyakit koronari dan tekanan darah tinggi.

"Berbuka puasa secara tradisinya dilakukan di rumah bersama ahli keluarga atau di masjid dalam suasana kerohanian. Bagaimanapun, ia telah bertukar kepada pesta makanan dengan lebih 100 jenis hidangan di hotel dan restoran.

"Membuang makanan merupakan satu dosa memandangkan ia menafikan makanan untuk mereka yang memerlukan dan generasi masa depan.

"Perbuatan itu juga melenyapkan sumber dan menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut dan sungai dengan melepaskan karbon dioksida yang bertanggungjawab terhadap pemanasan global," ujar beliau lagi.

Mohideen berkata, salah satu tujuan berpuasa ialah menahan kelaparan seperti yang dialami oleh golongan miskin dan terpinggir.

"Ia akan mengajar kita untuk insaf dan simpati kepada mereka yang miskin dan tidak mempunyai makanan. Kini lebih dua juta rakyat Palestin menghadapi kebuluran, oleh itu, kita tidak sepatutnya membuang banyak makanan pada bulan yang suci ini.

"Golongan kaya seharusnya berkongsi kekayaan dengan mereka yang miskin dan memerlukan, bukannya bersikap rakus dan bermegah-megah dalam cara hidup. Gunakan kekayaan anda untuk membantu golongan miskin dan terpinggir keluar daripada kemiskinan serta penindasan dengan menyokong program-program amal jariah," katanya lagi.

Ujar Mohideen, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan berbuka puasa di hotel sebaliknya memilih di rumah atau di masjid.

"Marilah kita berazam untuk menjadikan Ramadan ini lebih bermakna dan mengayakan lagi kerohanian. Elakkan daripada berbuka puasa di hotel sebaliknya di rumah dan masjid dengan ahli keluarga serta rakan-rakan.

"Jemputlah jiran bukan Islam anda untuk berbuka puasa bersama. Dengan cara ini, kita dapat membina hubungan baik dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya. - Sinar Harian