BENTONG: Seramai 90 pekebun nanas di Selangor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM5.4 juta selepas kawasan tanaman mereka seluas 49 hektar terjejas akibat banjir, kata Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata pihak lembaga kini mengambil inisiatif untuk turun padang dan melihat sendiri kemusnahan tanaman pekebun nanas bagi menyampaikan bantuan sewajarnya.

"Di Pahang sendiri seramai 39 pekebun terjejas akibat banjir yang melibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM 1 juta dan untuk hari ini kita turun bagi melihat kerosakan tanaman pekebun dalam usaha mengenal pasti jenis bantuan yang diperlukan mereka.

"Selain barangan keperluan asas, antara bantuan lain yang akan disalurkan menerusi Tabung Bencana LPNM ialah membabitkan input pertanian seperti racun kulat, benih, baja sebanyak RM2,500 perhektar dengan bantuan maksimum empat hektar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas melawat rumah dan kebun nanas milik Nazaruddin Abdul Jalil di Kampung Karak Setia, di sini hari ini yang terjejas akibat banjir buruk yang melanda daerah Bentong pada pertengahan Disember lepas.

Hadir sama Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M Salleh, Pengarah LPNM Pahang Muhammad Fauzan Mohd dan Ketua Komunikasi Korporat LPNM Elmie Adha Ismail.

Mengulas lanjut, Sahruddin berkata LPNM juga akan membantu pekebun nanas yang rumah mereka terjejas akibat banjir melalui bantuan asas di bawah program MAFI Prihatin berupa produk makanan dan keperluan asas yang lain.

"LPNM akan sentiasa mengemas kini maklumat yang diterima berkenaan pekebun yang terjejas sama ada dari segi kebun, rumah atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu, Nazaruddin, 49, berkata beliau berterima kasih kepada LPNM yang sudi menghulurkan bantuan dan berkunjung ke rumah serta kebunnya bagi melihat sendiri kerosakan dialami.

Bapa kepada dua anak yang mengusahakan tanaman berkenaan sejak empat tahun lalu itu berkata banjir telah mengakibatkan lebih 30 peratus daripada 0.40 hektar tanaman nanasnya rosak.

"Banyak bantuan yang saya terima dan paling terharu apabila LPNM berkunjung ke rumah dan ladang serta menyampaikan barangan diperlukan antaranya barangan makanan, tikar dan jet air.

"Selain itu, saya amat menghargai usaha mereka apabila mahu membeli nanas varieti MD2 yang masih elok untuk dipasarkan bagi meringankan beban saya sekeluarga," katanya.

-- BERNAMA