Seramai 90 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand dalam serbuan bersepadu terhadap sebuah pusat perjudian haram di bandar sempadan ini tengah malam tadi.

Menurut Ketua Tentera Khas Infantri ke-5 Kol Nipon Chantana, 134 rakyat Thai turut ditahan dalam operasi itu yang membawa keseluruhan bilangan yang ditangkap dalam operasi itu kepada 224 orang.

"50 anggota penguat kuasa pelbagai agensi menyerbu pusat perjudian haram itu di Lorong Thai-Changloon 7, mukim Samnakkham di Danok hasil maklumat daripada pasukan perisikan," katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam serbuan itu katanya, pihak berkuasa turut merampas 35 alat perjudian serta pelbagai matawang asing dan tempatan bernilai 2.3 juta Baht (RM1=8.38 Baht).

Menurut Nipon, mengikut maklumat perisikan pusat perjudian terbabit baru sahaja beroperasi.

Pihak berkuasa juga katanya, akan melakukan siasatan dengan lebih lanjut untuk mengetahui pemiliknya sama ada ia adalah rakyat tempatan atau rakyat Malaysia.

Kesemua yang ditahan dalam operasi terbabit menurutnya, sedang ditahan di balai polis tempatan bagi membolehkan siasatan kerana berjudi secara haram dilakukan terhadap mereka.

Dibawah undang-undang perjudian haram Thailand katanya, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara dari tiga bulan hingga tiga tahun manakala denda pula daripada 500Baht hingga 5000Baht.