KUALA LUMPUR: Sejumlah 924 permohonan semakan hukuman bagi banduan yang dikenakan hukuman mati mandatori dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat telah dikemukakan kepada mahkamah setakat 31 Okt lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata jumlah itu melibatkan 807 semakan hukuman bagi banduan yang dikenakan hukuman mati mandatori dan 117 semakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat.

Ini adalah susulan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) yang berkuat kuasa pada 4 Julai lepas, manakala Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847), berkuat kuasa pada 12 Sept.

"Melalui statistik Jabatan Penjara, 1,020 banduan akan menerima manfaat susulan daripada penguatkuasaan Akta 847 ini. Pendengaran kes pertama bagi semakan hukuman di bawah Akta 847 akan diadakan pada 14 Nov ini di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

"Berhubung dengan jangka masa penyelesaian proses semakan ini tiada tempoh masa tertentu ditetapkan, proses pemfailan dan pendengaran akan dilaksanakan secara berperingkat," katanya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi jabatan itu hari ini.

Ramkarpal berkata, pada masa yang sama kira-kira RM12 juta telah diperuntukkan bagi tujuan proses permohonan semakan hukuman termasuk untuk perkhidmatan bantuan guaman.

Terdahulu, Gobind Singh Deo (PH-Damansara) ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan meminta penjelasan mengenai jumlah permohonan semakan hukuman bagi banduan yang dibuat sehingga sekarang dan kos yang terlibat dalam proses permohonan semakan hukuman itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) tidak pernah menjalankan tugas sebagai alat politik tetapi berfungsi sebagai agensi komunikasi komuniti kerajaan.

J-KOM bertindak menerusi tiga fungsi iaitu melahirkan komuniti budaya ilmu, kemahiran digital serta bersemangat patriotik, katanya.

Beliau berkata walaupun peruntukan kepada J-KOM dikurangkan sebanyak RM6.81 juta bagi 2024, jabatan itu akan terus menyampaikan maklumat kerajaan secara efektif kepada rakyat serta menangkis berita palsu dan fitnah.

"J-KOM akan mengubah naratif penyampaian maklumat kepada naratif menjawb isu-isu permasalahan yang ditimbulkan agar rakyat mendapat berita yang sahih, dan antara program yang telah dilaksanakan seperti Program Semarak MADANI, Bengkel Anak Muda Celik Digital, Program Santun Komuniti dan Taklimat Khas Malaysia MADANI," katanya ketika menggulung perbahasan bagi jabatan itu.

Mengenai peruntukan pengurusan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang dikurangkan pada tahun depan, beliau berkata ia tidak menjejaskan bantuan kepada mangsa bencana.

Ini katanya kerana peruntukan bencana adalah di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang disalurkan kepada Jawatankusa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) sebelum Monsun Timur Laut melanda.

Selain itu, beliau berkata pengurangan peruntukan kepada NADMA adalah di bawah perbelanjaan pengurusan operasi terutamanya yang melibatkan bekalan dan perkhidmatan.

-- BERNAMA