Skip to main content

Malaysia

95 kematian dalam tempoh empat hari Op Selamat

71436606368_KHALIDABUBAKAR.jpg
Sebanyak 95 kematian dicatatkan dalam tempoh empat hari Op Selamat 7/2015 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang bermula di seluruh negara Jumaat lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata daripada jumlah itu, 57 kes merupakan kemalangan melibatkan motosikal, motokar (19), pejalan kaki (tujuh), van (tujuh), lori (tiga) dan lain-lain (dua).

Katanya, ini bermakna purata sehari 24 kes kematian dicatatkan, peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelum ini yang kebiasaannya 18 kes secara purata.

"Hari ini merupakan hari kelima Op Selamat dijalankan, saya amat berdukacita dengan jumlah peningkatan kes kematian yang direkodkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat pegawai kanan polis di Mes Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman, di sini, hari ini.

"Seperti yang kita tahu kemalangan motosikal mendahului kemalangan maut yang lain...jadi kita kena fikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan jangan pentingkan diri-sendiri ketika memandu," katanya.

Khalid berkata mengikut analisis pihaknya banyak punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri.

"Saya menyeru kepada orang ramai yang menggunakan jalan raya dan lebuh raya supaya memandu dengan berhati-hati dan janganlah tergopoh-gapah untuk ke destinasi," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memeriksa terlebih dahulu keadaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan jauh.

Katanya berita kemalangan maut ketika musim perayaan Aidilfitri amat menyedihkan bagi keluarga yang sedang menunggu di kampung.

"Polis akan mempertingkatkan penguatkuasaan di tempat yang sering berlaku kemalangan maut," katanya.

Sementara itu, Khalid berkata berdasarkan borang maklumat balik kampung di seluruh negara, sejumlah 1,185 orang telah pulang untuk berhari raya di kampung halaman masing-masing.

Must Watch Video