Skip to main content

Malaysia

99 projek Persekutuan bernilai RM12 bilion diluluskan di Sarawak

Nanta (dua,kiri) meninjau Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Muara Tuang di Kem Muara Tuang, hari ini.  - Gambar Bernama
Nanta (dua,kiri) meninjau Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Muara Tuang di Kem Muara Tuang, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 99 projek pembangunan Persekutuan bernilai keseluruhan RM12 bilion telah diluluskan di Sarawak termasuk 35 projek yang kini dalam fasa pembinaan, kata  Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Sebanyak 35 projek berkenaan sedang dalam fasa pembinaan dengan nilai projek berjumlah RM5 bilion,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan projek siap Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Muara Tuang di sini, hari ini.

Beliau berkata projek yang bernilai RM50 juta ke bawah telah diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk dilaksanakan. 

Advertisement

Mengenai prestasi kontraktor, Nanta mendedahkan kementeriannya mempunyai pangkalan data dan rekod dalaman lengkap mengenai tahap keupayaan setiap kontraktor yang dilantik namun senarai itu tidak diumumkan secara rasmi bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan.

Jelasnya, tiada insentif berbentuk bonus atau kerja tambahan diberikan secara automatik kepada kontraktor yang menyiapkan projek lebih awal daripada jadual.

Advertisement

"Memang kita tahu dalam rekod kita mana kontraktor yang boleh dikategorikan sebagai reliable (boleh dipercayai) dan diyakini dapat membuat kerja dengan sempurna, ada juga kontraktor yang tidak seberapa," katanya. 

Nanta berkata kelewatan sesebuah projek tidak boleh diletakkan pada bahu kontraktor semata-mata kerana hal demikian turut melibatkan faktor luar seperti pengambilan balik tanah, kerja ukur halus, pengalihan utiliti serta perubahan skop.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak kontraktor tetap tidak boleh lepas tangan sekiranya kelewatan berpunca daripada kecuaian sendiri.

"Kita tak nak projek ini lewat jadual atau sakit kerana kelemahan pengurusan, kewangan mereka atau pengurusan tenaga kerja dan pekerja di lapangan. Banyak projek besar, tetapi pekerja tidak ramai, di mana bidang tanggungjawab mereka, mereka mesti bertanggungjawab sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, RKAT Kem Muara Tuang bernilai RM119.1 juta itu dibangunkan di kawasan seluas 28.3 ekar, membabitkan pembinaan 190 unit kediaman pelbagai kelas yang dilengkapi kemudahan asas seperti surau, tadika dan taska.

Dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 JKR Malaysia, projek tersebut katanya berjaya disiapkan dalam tempoh tiga tahun seperti yang ditetapkan walaupun terdapat sedikit lanjutan masa (EOT) susulan pertambahan skop kerja.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement