Skip to main content

Malaysia

Pemilihan acara Sukan SEA diputuskan SEAGF - Mordi

Mordi berucap ketika Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Liga Sukan Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 di Casa 4 Bukit Jalil hari ini.  - Gambar Bernama
Mordi berucap ketika Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Liga Sukan Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 di Casa 4 Bukit Jalil hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung pemilihan acara pada Sukan SEA 2027 adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan bukannya ditentukan secara sepihak oleh Malaysia selaku tuan rumah, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol.

Malaysia hanya bertindak mengikut ketetapan badan induk itu, katanya yang mengulas langkah Indonesia mengemukakan permohonan supaya beberapa acara tambahan dipertimbangkan untuk turut disenaraikan pada temasya tersebut.

“Pertama sekali, saya ingin tegaskan bahawa perkara itu bukan bantahan. Menteri Belia dan Sukan juga telah menerima surat daripada pihak Indonesia berhubung permohonan bagi beberapa sukan lain.

Advertisement

“Kita telah mengambil maklum perkara itu dan akan menyerahkannya kepada SEAGF untuk menentukan sama ada sukan berkenaan akan dimasukkan atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Liga Sukan Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 di Bukit Jalil, hari ini.

Beliau berkata adalah tidak adil untuk menganggap Malaysia sebagai pihak yang menentukan pemilihan acara sukan kerana perkara itu tertakluk sepenuhnya pada bidang kuasa SEAGF.

Advertisement

“Apa yang boleh kita katakan, semuanya tertakluk pada SEAGF. Kita sebagai penganjur hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh SEAGF,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari sebelum ini menjelaskan bahawa surat bertarikh 6 Nov itu bukan bertujuan memboikot temasya berkenaan sebaliknya menyuarakan hasrat Indonesia untuk menambah beberapa acara sukan.

Beliau berkata pemilihan sukan bagi temasya itu telah melalui proses panjang yang dipersetujui negara anggota SEAGF, dengan 38 sukan pada asalnya diluluskan sebelum jumlah itu ditambah kepada 43 sukan pada mesyuarat kedua badan berkenaan Julai lepas.

Sementara itu, Mordi berkata kejohanan hari ini yang julung kali dianjurkan berjaya menghimpunkan 360 peserta dari seluruh negara sebagai inisiatif kerajaan membudayakan sukan sepanjang hayat.

Beliau berkata kejohanan yang berlangsung dari 14 hingga 16 Nov itu menampilkan tiga acara iaitu boling tenpin, baling damak (dart) dan petanque yang dipilih berdasarkan kesesuaian serta tahap intensiti rendah untuk golongan warga emas.

“Dari segi permintaan dan sambutan, kita lihat mereka semua bersemangat dan mengharapkan agar program seperti ini diteruskan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement