BUKIT MERTAJAM: Pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu disifatkan sesuai untuk menakhodai agensi berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia berikutan Abdul Halim mempunyai latar belakang dalam badan kehakiman serta tidak mempunyai penglibatan dalam mana-mana perniagaan besar atau parti politik tanah air.
Advertisement
“Jadi, saya fikir beliau sesuai menakhodai SPRM dan terus meningkatkan keupayaan SPRM.
“Saya telah berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam untuk mempertimbangkan pelantikan beliau bagi tempoh dua tahun,” kata beliau selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sebagai Pusat Transformasi Digital Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di NADI Kubang Semang, di sini hari ini.
Anwar juga merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Azam Baki yang menyandang jawatan itu dan dijadualkan tamat pada 12 Mei ini, atas segala khidmat yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan Abdul Halim, 69, sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelantikan berkenaan selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM atau Akta 694.
-- BERNAMA