KUALA LUMPUR : Tokoh korporat yang juga pengasas Kumpulan Perbankan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai Pengerusi baharu Lembaga Tabung Haji (TH) berkuat kuasa hari ini.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, TH mengalu-alukan pelantikan ini dan bersyukur kerana menerima tokoh yang dihormati dan berpengalaman khususnya dalam bidang perniagaan di mana beliau telah mengasaskan Kumpulan RHB, salah sebuah kumpulan perbankan terbesar negara.

"Kami yakin usaha untuk memperkukuhkan TH akan diteruskan dengan pengalaman dan kepimpinan beliau.

"Pelantikan Abdul Rashid juga diharap menjadikan TH sebagai institusi Islam yang dihormati atas pencapaian dan tadbir urus yang baik seiring dengan mandat penubuhannya untuk memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan Haji," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Pelantikan Abdul Rashid adalah bagi menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar yang tamat tempoh sebagai Pengerusi.

Abdul Rashid merupakan pengasas Kumpulan RHB yang bermula sebagai syarikat broker saham Rashid Hussain Securities Sdn Bhd pada 1983 sebelum mengembangkannya menjadi salah sebuah kumpulan perkhidmatan kewangan bersepadu terbesar di Malaysia.

Beliau sebelum ini juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Berhad dari tahun 1994 hingga 1998.

Selain daripada itu, tokoh perbankan negara itu juga pernah mencurahkan khidmat sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari 1995 hingga tahun 2000.

"Abdul Rashid juga di antara enam ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di dalam Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) TH," kata kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, TH berterima kasih kepada Azman sepanjang tempoh kepimpinannya menerajui TH.

Sejak dilantik sebagai Pengerusi pada 20 Disember 2021, Azman berjaya memastikan kedudukan kewangan TH lebih kukuh dengan mencatat jumlah deposit sehingga 30 Nov 2023 sebanyak RM 88.9 billion, peningkatan hampir 7 peratus berbanding RM83.3 billion pada 1 Januari 2022.