MALAYSIA
Ada penunggang basikal masuk lorong kiri, halang laluan bas - Rapid Bus

Menurut Rapid Bus, susulan kejadian, Kapten Bas terbabit diberi kaunseling bagi membantu beliau mengurus situasi dengan lebih tenang sekiranya insiden seumpama itu berulang pada masa hadapan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd telah menjalankan siasatan berhubung satu rakaman video tular di media sosial yang memaparkan insiden membabitkan sebuah bas perantara MRT dan sekumpulan penunggang basikal di ibu negara.
Menurut kenyataan syarikat itu, kejadian berlaku apabila Kapten Bas berdepan kesukaran untuk memandu selepas sekumpulan penunggang basikal mengayuh secara berkumpulan di hadapan kenderaan berkenaan.
"Keadaan menjadi lebih rumit apabila ada dalam kalangan penunggang tersebut memasuki lorong kiri dan menghalang laluan bas, menyebabkan pemandu terpaksa memberhentikan kenderaan dan menegur kumpulan terbabit," katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Rapid Bus berkata, insiden itu kemudian mencetuskan perselisihan faham antara pemandu dan penunggang basikal, sebelum seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan melalui kawasan berkenaan campur tangan dan menenangkan keadaan."Susulan kejadian, Kapten Bas terbabit telah menjalani sesi kaunseling bagi membantu beliau mengurus situasi dengan lebih tenang sekiranya insiden seumpama itu berulang pada masa hadapan.
"Rapid Bus turut menegaskan bahawa semua pemandu bas di bawah syarikat itu sentiasa diingatkan agar mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi semua garis panduan keselamatan yang ditetapkan," ujarnya.
Dalam pada itu, Rapid Bus menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan semua pengguna.
"Penunggang basikal khususnya dinasihatkan supaya menunggang dalam satu barisan, tidak memasuki lorong kenderaan dan tidak menghalang pergerakan lalu lintas demi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," menurut kenyataan itu lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami