Aktivis, Adam Adli dicadang untuk 'menyertai' kumpulan pemuzik jalanan, Caliph Buskers dengan bermain kompang dan menghiburkan orang ramai di sekitar pusat membeli-belah Sogo.

Beberapa komen di laman Facebook Astro AWANI yang tidak menyokong perhimpunan 'Kita Lawan' turut meminta aktiviti kemuncak yang dicadang berlangsung pada 7 Mac depan dibatalkan sama sekali.

Perhimpunan pada Sabtu lalu diadakan bagi menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebagai tanda solidariti untuk pembebasan Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan liwatnya.

"Adam Adli perlu contohi Caliph Buskers....tak payahlah buat demo bagai.

"Orang nak cari rezeki depa buat onar kat situ .

"Buat di tempat lain. Kawasan Caliph Buskers juga kau nak buat," tulis beberapa komen di laman Facebook tersebut.


Beberapa komen di laman Facebook Astro AWANI yang meminta Adam membatalkan perhimpunan 'Kita Lawan' yang dijadual berlangsung pada 7 Mac depan - Gambar Facebook Astro AWANI

Sebelum ini, Anggota Caliph Buskers, Fendy memberi amaran kepada Adam dan penyokong perhimpunan 'Kita Lawan' supaya tidak mengganggu lokasi pemuzik jalanan membuat persembahan di sekitar bangunan Sogo dengan perhimpunan yang hanya membawa ketakutan kepada masyarakat.

Kata Fendy, sebarang perhimpunan haram yang dicadang diharap dibatalkan segera demi kelangsungan rezeki pemuzik jalanan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, ada juga komen yang turut menyokong Adam dengan memberi alasan hak asasi berhimpun di tempat awam.

"Biarlah nak berhimpun pun, mereka hendak keadilan sahaja.

"Bukannya mereka nak berdemonstrasi 24 jam.

"Sogo tempat awam sesiapa boleh gunakan," tulis komen berkenaan.

Adam dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Fariz Musa yang ditahan sewaktu menghadiri perhimpunan ‘Kita Lawan’ di hadapan Sogo pada Sabtu dibebaskan pada Ahad.

Antara yang memberikan ucapan pada perhimpunan itu adalah anak Anwar, Nurul Nuha.

Pada perhimpunan itu, Nurul Nuha turut meminta orang ramai untuk sekali lagi berhimpun pada perhimpunan kemuncak bagi kempen ‘Kita Lawan' pada 7 Mac depan.

Adam yang turut berucap pada perhimpunan berkenaan menyeru anak-anak muda untuk tidak takut dalam perjuangan mereka.