KLUANG: Kanak-kanak yang menghidap penyakit lebihan cecair dalam otak atau hidrosefalus meninggal dunia akibat cedera parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki bersama ibu dan abangnya terlibat kemalangan di Taman Ilham di sini pada petang Isnin.

Bapanya, Mohd Sharul Hassan, 38, berkata, anaknya, Nor Rahil Raiham, 5, meninggal dunia pada jam 8.45 malam tadi di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang selepas lima jam bertarung nyawa.

Dia berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 4.10 petang itu semasa isterinya, Aisah Mohd Salleh, 34, yang memandu MPV Naza Ria dalam perjalanan pulang selepas mengambil seorang lagi anak mereka, Nor Izzul Islam, 8, dari sekolah sebelum kemalangan dengan Proton Wira.

"Akibat kemalangan itu, Rahil Raihan mengalami kecederaan sebelum mendapatkan rawatan di zon merah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang.

"Selepas kira-kira lima jam bertarung nyawa, akhirnya Raihan menghembuskan nafas terakhir jam 8.45 malam tadi," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru dekat sini hari ini.

Mohd Sharul berkata, pemergian anak bongsu daripada tiga beradik itu merupakan ujian baharu buat keluarganya selepas anak sulungnya berusia 13 tahun meninggal dunia pada tarikh sama tahun lalu akibat penyakit sawan.

"Anak sulung saya, Nor Iman Shah meninggal dunia pada 27 November 2022 manakala Rahil Raihan pula pada 27 November 2023.

"Walaupun sedih, namun saya reda, sudah sampai masanya Nor Rahil yang menghidap penyakit hidrosefalus sejak lahir untuk menemui pencipta-Nya.

"Dia tidak perlu lagi menanggung kesakitan yang dihidapinya selama ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, semasa kejadian kenderaan dipandu ibu mangsa datang dari arah Kampung Paya ke kediamannya di Jalan Ilham 3 tama berkenaan.

"Sebaik sampai di lokasi kejadian, kenderaan dipandu wanita itu dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar kereta Proton Wira yang sedang parkir di tepi jalan seterusnya melanggar pagar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, ibu mangsa cedera ringan di bahagian kepala dan siku kanan manakala Nor Izzul Islam cedera ringan di badan dan mereka mendapat rawatan di zon kuning dan zon hijau Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom.

"Rahil Raihan yang cedera pula dirawat di zon kuning dan disahkan meninggal dunia malam tadi akibat pendarahan kronik dan kecederaan abdomen dalaman disebabkan oleh kemalangan ini.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - Sinar Harian