MALAYSIA
Adik-beradik cacat kekal terima sumbangan RM222,000, rumah

S Sundarajoo hadir pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah MutiaraKu di Pulau Pinang, pada Ahad. - Foto Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang
KUALA LUMPUR: Tabung khas yang digerakkan bagi membantu dua beradik yang mengalami kecacatan kekal selepas terlibat dalam kemalangan tragis, Februari lalu berjaya mengumpul dana lebih RM222,000 dalam tempoh enam bulan.
Ringkasan AI
- Tabung khas yang digerakkan oleh PIBG SJKT Sungai Bakap berjaya mengumpul lebih RM222,000 dalam masa enam bulan.
- RM42,000 daripada dana itu digunakan untuk membeli Rumah MutiaraKu yang direka mesra OKU di Bandar Tasek Mutiara.
- Rumah tersebut kini didaftarkan atas nama nenek sebagai pemegang amanah dan akan dipindah milik kepada dua beradik itu apabila mereka mencecah usia 18 tahun.
"Buat masa ini rumah itu didaftarkan atas nama nenek mereka, Amartham Munusamy, sebagai pemegang amanah.
"Namun, apabila anak-anak ini mencecah usia 18 tahun kelak, pemilikan rumah akan dipindahkan sepenuhnya kepada mereka," katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah MutiaraKu di Pulau Pinang, pada Ahad.
Menurut Sundarajoo, rumah berkenaan direka mesra orang kurang upaya (OKU) dan terletak di tingkat pertama selain dilengkapi kemudahan lif serta laluan khas kerusi roda bagi memudahkan pergerakan dua beradik itu.
Ketika menziarahi kanak-kanak itu di Hospital Pulau Pinang pada Februari lalu, beliau mencadangkan sebuah tabung khas diwujudkan di bawah seliaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Sungai Bakap.
"Saya turut membantu menggerakkan kempen kutipan dana melalui media sosial bagi menggalakkan rakan-rakan dan masyarakat menyumbang.
"Disebabkan sambutan luar biasa, kempen yang pada awalnya dijadualkan berakhir pada 21 Mei lalu dipanjangkan," ujarnya.
Pada 18 Februari lalu, nenek mereka yang dalam perjalanan menghantar mereka ke sekolah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori.
Kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu dipercayai berlaku ketika pemandu lori tersebut hendak keluar dari susur sebelah kiri jalan sebelum terlanggar sebuah motosikal yang berada di hadapan sebelah kanan kenderaan berat itu.
Rakaman video dan gambar berhubung kemalangan tersebut tular di media sosial dengan rata-rata warga Malaysia pelbagai bangsa meluahkan rasa simpati pelbagai kaum dengan insiden tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami