Skip to main content

Malaysia

Aduan konflik kepentingan di UKM diabaikan hampir lapan bulan - PAC

PAC mengemukakan 10 syor utama termasuk memperkukuh perlindungan pemberi maklumat, memperketat kawalan kelulusan kontrak, dan menggesa siasatan SPRM terhadap cubaan suapan. - Gambar fail/Bernama
PAC mengemukakan 10 syor utama termasuk memperkukuh perlindungan pemberi maklumat, memperketat kawalan kelulusan kontrak, dan menggesa siasatan SPRM terhadap cubaan suapan. - Gambar fail/Bernama

Ringkasan AI

  • PAC mendapati aduan konflik kepentingan di UKM diabaikan pentadbiran lama selama hampir lapan bulan sebelum siasatan dalaman dimulakan kepimpinan baharu.
  • Perjanjian antara UKM dan KSBB didapati tidak mematuhi tatacara perolehan kerajaan serta melanggar Perlembagaan UKM tanpa kelulusan rasmi LPU dan MOF.
  • PAC mengemukakan 10 syor utama termasuk memperkukuh perlindungan pemberi maklumat, memperketat kawalan kelulusan kontrak, dan menggesa siasatan SPRM terhadap cubaan suapan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Aduan berhubung konflik kepentingan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didapati diabaikan pentadbiran lama universiti itu selama hampir lapan bulan sebelum kepimpinan baharu memulakan siasatan dalaman.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata perkara itu antara 10 rumusan PAC hasil penelitian dokumen dan keterangan saksi berhubung kutipan hasil yuran pelajar serta perbelanjaan UKM sepanjang prosiding yang bermula 29 Jun hingga 16 Julai lepas.

“PAC telah pun membuat rumusan bahawa berlakunya pengabaian terhadap aduan konflik kepentingan yang tidak diambil tindakan oleh pentadbiran lama UKM selama hampir lapan bulan sehinggalah kepimpinan baharu memulakan siasatan dalaman,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini. 

Advertisement

Prosiding siasatan itu dilaksanakan susulan Laporan Ketua Audit Negara Bilangan 1/2026 mengenai ketidaktaturan serius dalam tadbir urus kewangan di Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional UKM (UKM SHIP), melibatkan saksi daripada pengurusan kanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), UKM, Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) serta bekas anggota pengurusan tertinggi UKM dan UKM SHIP.

Mas Ermieyati berkata PAC mendapati perjanjian antara UKM dan KSBB bagi pengendalian Program Sarjana Pendidikan (SPEND) dan Diploma Pengurusan Lepasan Ijazah (DPLI) tidak mematuhi tatacara perolehan kerajaan serta melanggar Perlembagaan UKM kerana tidak mendapat kelulusan rasmi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Advertisement

“KSBB telah mengutip yuran pengajian secara terus daripada pelajar tanpa sebarang mandat yang sah. Malah, hasil yuran pengajian disimpan oleh koperasi sebagai agihan kasar dan tidak direkodkan di dalam akaun UKM menyebabkan pendapatan universiti menjadi terkurang nyata mengikut piawaian perakaunan awam," katanya.

Mas Ermieyati berkata PAC juga mendapati berlaku kegagalan fungsi semak dan imbang di peringkat LPU apabila meluluskan kertas kerja dengan anggapan saringan rapi telah dibuat di peringkat bawahan, selain bergantung kepada kehadiran wakil MOF dalam mesyuarat tanpa memastikan kelulusan rasmi kementerian diperoleh terlebih dahulu.

“Terdapat pendedahan bahawa Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU) UKM menerima tekanan berterusan termasuk tawaran wang tunai serta tawaran tajaan percutian luar negara untuk bekerja hujung minggu bagi memotong giliran semakan undang-undang atas kontrak,” katanya.

Menurut beliau, dapatan lain termasuk isu konflik kepentingan pegawai UKM memegang jawatan utama dalam KSBB tanpa kebenaran bertulis ketua jabatan, dengan nama pegawai terbabit disembunyikan dalam dokumen asal KSBB semasa proses usaha wajar (due diligence) dilakukan oleh PUU.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata  PAC mengemukakan 10 syor utama bagi memulihkan integriti dan tadbir urus kewangan UKM antaranya memperkukuh perlindungan pemberi maklumat dengan menyediakan saluran aduan telus melalui Pusat Integriti dan Ombudsman serta menetapkan garis masa mandatori bagi menyiasat setiap aduan tanpa perlu menunggu pertukaran kepimpinan universiti.

Mas Ermieyati berkata PAC turut mengesyorkan kawalan kelulusan kontrak diperketat dengan memastikan semua perjanjian memorandum perjanjian (MoA) atau memorandum persefahaman (MoU) yang mempunyai implikasi kewangan dan dasar, mendapat kelulusan LPU, KPT dan MOF sebelum dimeterai.

Selain itu, KPT dan semua universiti awam disaran menghentikan kutipan yuran pengajian pihak ketiga dengan memastikan semua hasil kutipan dimasukkan sepenuhnya ke dalam akaun rasmi universiti selain menekankan keperluan LPU dan wakil MOF memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan pematuhan peraturan kewangan sebelum sesuatu cadangan diluluskan.

“PAC turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mendalam terhadap cubaan memberi suapan wang tunai dan tajaan percutian bagi memotong giliran semakan fail di Pejabat PUU UKM,” katanya.

Syor lain termasuk mengambil tindakan tegas terhadap konflik kepentingan dan penyalahgunaan aset universiti yang melibatkan syarikat milik keluarga pegawai, selain memastikan peraturan pekerjaan luar dipatuhi dengan mewajibkan kebenaran bertulis ketua jabatan sebelum pegawai awam dibenarkan memegang jawatan dalam koperasi.

PAC turut mengesyorkan UKM dan KSBB menjalankan audit pelarasan akaun bagi memuktamadkan baki tuntutan sebenar kedua-dua pihak, selain mencadangkan Jawatankuasa Siasatan Bebas dilantik oleh LPU atau KPT dengan skop siasatan merangkumi rantaian arahan di peringkat pengurusan tertinggi,

Selain itu, PAC turut mencadangkan pengasingan aktiviti komersial universiti awam daripada operasi institusi induk dengan memindahkannya ke bawah anak syarikat rasmi seperti UKM Holdings yang tertakluk kepada audit syarikat komersial. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement