Ringkasan AI
- Orang ramai disaran menggunakan saluran rasmi Majlis Media Malaysia untuk membuat aduan berkaitan laporan media yang tidak memuaskan.
- Fahmi Fadzil mengingatkan semua pihak, termasuk wartawan dan netizen, supaya menghormati Tun Dr Mahathir dan keluarganya dengan memberi ruang seperti diminta keluarga.
- Pihak berkuasa sedang menjejaki akaun yang menghasilkan kandungan jelik melampau, termasuk yang menyalahgunakan teknologi AI berkaitan Tun Dr Mahathir.
SHAH ALAM: Orang ramai yang mempunyai aduan atau tidak berpuas hati dengan laporan media disaran menggunakan saluran rasmi yang disediakan Majlis Media Malaysia (MMM).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata mekanisme itu wajar digunakan sekiranya terdapat tajuk berita atau kandungan media yang dianggap tidak sesuai atau menimbulkan persoalan.
“Saya berpandangan ada beberapa perkara yang kita wajar rujuk kepada Majlis Media Malaysia.
“Pertama, sekiranya dari aspek pelaporan oleh media itu sendiri, saya sarankan orang ramai, sekiranya ada tajuk berita ataupun apa-apa perkara yang ingin ditegur kepada pihak media, mekanismenya adalah saluran aduan rasmi melalui Majlis Media Malaysia,” katanya ketika mengulas laporan mengenai dakwaan penghinaan terhadap pengamal media ketika membuat liputan berhubung Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan semua pihak termasuk wartawan dan 'netizen journalist' supaya menghormati Dr Mahathir serta keluarganya dengan memberikan ruang dan masa kepada mereka.
Katanya, permintaan keluarga supaya ruang diberikan kepada bekas perdana menteri itu perlu dihormati, termasuk oleh pihak yang mahu mendapatkan reaksi beliau.
“Pada masa sama, semalam saya ada terbitkan satu kandungan dalam TikTok saya memberi peringatan kepada semua pihak.
“Pertama, untuk kita menghormati Tun Dr Mahathir dan keluarga. Ada yang merasakan kita berikan ruang dan tidak patut kita, termasuk orang ramai yang mungkin ingin mendekati Tun Dr Mahathir sekarang untuk bertanya perasaan beliau.
“Berilah beliau masa seperti yang dipohon oleh wakil keluarga Datuk Seri Mukhriz,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Fahmi berkata pihak berkuasa sedang menjejaki beberapa akaun yang dikenal pasti menghasilkan kandungan jelik melampau, termasuk kandungan yang didakwa menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan mengaitkan Dr Mahathir ketika pengebumian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
“Saya sendiri melihat akaun tersebut telah lesap, telah hilang. Kita belum pasti sama ada akaun itu adalah akaun palsu.
“Tetapi pihak MCMC sedang menjejaki bersama-sama pihak PDRM mana-mana pihak yang menghasilkan kandungan jelik melampau dalam hal ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengamal media supaya memberikan ruang dan menghormati permintaan keluarga dalam tempoh berkenaan.
“Rakan-rakan media, saya juga ingin memberi sedikit peringatan supaya kita juga memberi ruang dan kita hormati permintaan keluarga.
“Dan pada ketika keluarga sedang berbuka, kita doakan Tun Dr Mahathir dan keluarga bertabah hati,” ujarnya lagi.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah saluran yang disarankan untuk membuat aduan terhadap laporan media?
A: Orang ramai disarankan menggunakan saluran rasmi yang disediakan Majlis Media Malaysia (MMM) untuk membuat aduan atau menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap laporan media. - Q: Apakah peringatan yang diberikan kepada pengamal media dan netizen berkaitan Tun Dr Mahathir?
A: Menteri Komunikasi mengingatkan semua pihak termasuk wartawan dan 'netizen journalist' supaya menghormati Tun Dr Mahathir serta keluarganya dengan memberikan ruang dan masa seperti yang diminta oleh keluarga beliau. - Q: Apakah tindakan pihak berkuasa terhadap kandungan jelik melampau yang melibatkan Tun Dr Mahathir?
A: Pihak berkuasa sedang menjejaki beberapa akaun yang menghasilkan kandungan jelik melampau, termasuk kandungan yang didakwa menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) berkaitan Tun Dr Mahathir ketika pengebumian isterinya. - Q: Siapakah yang sedang bekerjasama dalam menjejaki akaun yang menghasilkan kandungan jelik?
A: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjejaki pihak yang menghasilkan kandungan jelik melampau. - Q: Apakah permintaan keluarga Tun Dr Mahathir yang perlu dihormati oleh media dan orang ramai?
A: Keluarga Tun Dr Mahathir meminta agar diberikan ruang dan masa kepada beliau, dan permintaan ini perlu dihormati oleh media serta orang ramai yang ingin mendapatkan reaksi beliau.