Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor menggesa kerajaan jangan melayan saranan pihak tertentu supaya mengkaji semula keputusannya menaikkan kadar tol di kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini.

Adun Kempas Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat daripada Barisan Nasional (BN) berkata kerajaan perlu bertegas dengan keputusan itu bagi mengelak diugut setiap kali melaksanakan dasar yang digubalnya.

"Mungkin kita berpendapat mengkaji semula sesuatu keputusan yang dibuat kerajaan berkaitan sesuatu dasar mencerminkan kesediaannya mendengar pendapat rakyat, tetapi sebaliknya, ia mempamerkan kelemahan dan ketidakmampuan kita untuk menimbang dengan teliti daya maju sesuatu prospek serta mengambil semua langkah lain, sebelum membuat sesuatu keputusan.

"Lebih menyedihkan lagi sekiranya kajian semula itu memberi keuntungan kepada orang luar dengan memperkuda rakyat kita yang bekerja di negara mereka," katanya kepada Bernama melalui emel hari ini.

Adun penggal pertama yang suka berterus-terang itu berkata demikian sebagai respons kepada gesaan, khususnya daripada DAP dan parti pembngkang lain, agar kerajaan menangguhkan dan mengkaji semula keputusannya menaikkan kadar tol di kompleks CIQ.

"Ini bukan lagi masa untuk bersikap flip-flop dan suka mengubah pendirian kerana sikap itu menjadi tanda pengenalan kerajaan masa lalu.

"Ini adalah masa untuk mempamerkan kepimpinan yang kuat dan bertanggungjawab serta menghantar isyarat kepada jiran kita bahawa kita tidak lagi mahu 'memberi jamuan percuma'," katanya.

Pada 26 Julai, Lembaga Lebuhraya Malaysia (MHA) mengumumkan kadar tol di kompleks CIQ akan dinaikkan bagi kenderaan Kelas 1 hingga Kelas 5, berkuatkuasa 1 Ogos.

Menurut LLM, kadar baharu tol bagi kenderaan yang memasuki Malaysia ialah RM9.70; RM14.70; RM19.70, RM4.80 dan RM7.80 mengikut kelas, manakala kadar tol bagi kenderaan yang keluar dari negara ini ialah RM6.80; RM10.20; RM13.60; RM3.40 dan RM5.50.

Ia juga menyatakan pengguna Eastern Dispersal Link (EDL) tidak perlu membayar tol dan lebuh raya itu adalah bebas tol bagi penduduk Johor Baharu.

Tengku Putra Haron Aminurrashid berkata kebanyakan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menggunakan motosikal untuk berulang-alik dan mereka tidak terjejas oleh kenaikan kadar tol itu, manakala mereka yang memandu kenderaan ke republik itu pula tentu berkemampuan membayar tol.

Mengenai bas pula, kata beliau oleh kerana setiap bas boleh membawa kira-kira 40 penumpang, tol yang dikenakan tidak sampai 40 sen seorang dan boleh ditanggung syarikat atau kilang tempat mereka bekerja.

Sementara itu, teksi yang menggunakan laluan itu untuk berulang-alik antara dua negara berjiran ini boleh memindahkan cajnya kepada penumpang, kata beliau.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang ingin mengelak kenaikan kadar tol boleh menggunakan Link Kedua di Gelang Patah.

"Sebenarnya, bayaran tol hanya dikenakan terhadap kenderaan yang pergi dan masuk dari Singapura. Semua pemandu lain di Johor tidak perlu membayarnya," kata beliau.