IPOH: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tampil membuat laporan polis susulan dakwaan terlibat dalam aktiviti pembalakan sepertimana yang tular di media sosial pada Jumaat.

ADUN Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata laporan polis dibuat bagi membersihkan namanya kerana dakwaan pemilik tersebut berbentuk fitnah yang menjejaskan reputasinya sebagai wakil rakyat.

Laporan beliau merujuk dakwaan dimuat naik seorang pemilik Facebook yang kononnya beliau meluluskan projek pembalakan di kawasan Batu Kurau hingga menjejaskan sumber air penduduk di kawasan tersebut, lapor Sinar Harian.

"Semakan yang dibuat daripada pejabat daerah dan tanah serta pejabat perhutanan Daerah Larut, Matang dan Selama mendapati tiada sebarang aktiviti pembalakan mahupun lesen dikeluarkan dalam kawasan DUN Batu Kurau.

"Ia merupakan kawasan bersebelahan tetapi telah dikaitkan dengan Batu Kurau.

"Jadi, tiada sebarang aktiviti pembalakan di kawasan saya dan tuduhan itu jelas satu fitnah," katanya ketika ditemui wartawan Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini.

Tedahulu, tular video menunjukkan sungai digunakan penduduk keruh dipercayai akibat aktiviti pembalakan, namun tidak menyatakan lokasi yang tepat kejadian itu.

Muhammad Amin berkata laporan dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dan mengenakan tindakan yang sewajarnya.

"Nama pemilik akaun Facebook sudah diberikan kepada polis untuk siasat," katanya.