MELAKA:Susulan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Melaka disahkan positif COVID-19, semua barisan kepimpinan kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menjalani ujian calitan hari ini.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Rahmad Mariman berkata ia dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan semua kontak sosial ADUN berkenaan bebas daripada jangkitan pandemik itu.

Beliau berkata, ujian saringan yang diadakan di Kompleks Seri Negeri hari ini, turut melibatkan pegawai, kakitangan sokongan serta pemandu-pemandu kepada Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang disyaki mempunyai kontak sosial dengan ADUN terlibat.

Ujar Rahmad, kerajaan negeri memandang serius isu kesilapan teknikal yang didakwa membabitkan Pusat Kesihatan Daerah Alor Gajah dan siasatan lanjut berkenaan hal itu sedang dilakukan bagi mengetahui punca sebenar.

“Siasatan awal mendapati ini pertama kali berlaku bukan sahaja di Melaka tapi di Malaysia. Saya melihat ada sedikit kelemahan teknikal yang menyebabkan ianya berlaku.

“Setelah berbincang dnegan JKN semalam, saya minta dibuat penambahbaikan dan siasatan akan diteruskan berkait hal ini dan jika disebabkan oleh faktor staf atau petugas, tindakan akan tetap dikenakan kepada yang terlibat. Kami mohon maaf kepada semua, Insyaallah perkara ini tidak akan berulang di lain masa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Molek,  di sini hari ini.

Semalam, ADUN Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof yang baharu pulang daripada membantu kempen PRN di Sabah mengesahkan beliau dijangkiti COVID-19 selepas proses menanggalkan gelang merah jambu dilakukan pada Selasa.

BACA: COVID-19: "Mula-mula negatif, sekarang positif" - ADUN Ayer Limau

Amiruddin berkata, kejadian itu dipercayai berlaku ekoran kesilapan teknikal di pihak Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah.

Mengulas lanjut Rahmad berkata empat kontak rapat terdiri daripada ahli keluarga juga sudah disaring di Klinik Kesihatan Masjid Tanah dan diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah.