MALAYSIA
AGC akan pertahan badan kehakiman daripada serangan tidak wajar - Mohd Dusuki

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata AGC telah terlibat secara aktif dalam pembaharuan badan kehakiman bagi meningkatkan kebebasan institusi itu dan meningkatkan kecekapan iaitu dua aspek penting untuk mengekalkan keyakinan rakyat.
PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mempertahan badan kehakiman daripada serangan yang tidak wajar bagi memastikan integriti proses keadilan sentiasa terpelihara.
Ringkasan AI
- Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan AGC akan mempertahan badan kehakiman daripada serangan tidak wajar demi menjaga integriti keadilan.
- AGC komited menjalin kerjasama dengan badan kehakiman di bawah Ketua Hakim Negara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk memastikan keadilan saksama dan boleh diakses semua.
- Presiden Badan Peguam, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata Ketua Hakim Negara perlu terus berani dan berprinsip bagi mengekalkan integriti serta kedaulatan undang-undang.
"AGC memainkan peranan penting dalam pentadbiran keadilan, kami adalah pegawai mahkamah yang bukan sekadar mahu mendapatkan sabitan tetapi juga memastikan bahawa kedaulatan undang-undang didukung sekali gus menyumbang kepada kelancaran sistem keadilan jenayah," katanya ketika berucap pada majlis sempena Pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Beliau berkata badan kehakiman ketika ini tidak beroperasi secara berasingan sebaliknya berfungsi dalam persekitaran perundangan yang dipengaruhi oleh trend global, kemajuan teknologi dan peningkatan jangkaan umum.
"Dalam konteks ini, badan kehakiman mesti terus memelihara prinsip-prinsip tradisi perundangan yang sudah sekian lama menjadi teras keadilan dan pada masa sama, bersedia menerima inovasi serta pembaharuan, jika perlu," katanya.
Mohd Dusuki juga berkata badan kehakiman memainkan peranan penting dalam memastikan bahawa cabang eksekutif dan legislatif berfungsi dalam had yang ditetapkan oleh Perlembagaan sekali gus mengekalkan sistem semak dan imbang.
"Peranan ini adalah teras kepada doktrin pengasingan kuasa yang bertujuan mengelakkan pemusatan kuasa dalam mana-mana satu cabang kerajaan.
"Keputusan Yang Amat Arif (Wan Ahmad Farid) untuk menarik diri daripada mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk membenarkan Peguam Diraja mewakili bekas Perdana Menteri itu dalam rayuan beliau terhadap sabitan bagi kes SRC International Sdn Bhd adalah detik penting dalam mengesahkan kebebasan kehakiman di negara kita," katanya.
Beliau juga berkata AGC sentiasa komited dalam memelihara, melindungi dan mempertahankan sistem perundangan negara.
Mohd Dusuki juga berkata AGC tidak sabar untuk menjalin kerjasama erat dengan badan kehakiman di bawah kepimpinan Wan Ahmad Farid dalam usaha memastikan keadilan dilaksana secara saksama dan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.
"Kami komited untuk menjalin kerjasama yang konstruktif dalam usaha menambah baik prosedur keadilan dan mewujudkan persekitaran litigasi yang cekap tanpa menjejaskan integriti manakala setiap keputusan dibuat bersandarkan kepada prinsip akauntabiliti.
"Keseluruhan perkhidmatan perundangan akan sentiasa berdiri teguh menyokong Yang Amat Arif dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dan ihsan," katanya.
Presiden Badan Peguam Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab ketika berucap pada majlis itu pula berkata Ketua Hakim Negara memainkan peranan yang amat penting bukan sahaja dalam menguruskan pentadbiran kehakiman tetapi juga menetapkan nada, arah dan budaya integriti dalam institusi kehakiman.
"Dalam zaman di mana pelbagai bentuk tekanan politik, ekonomi dan sosial mencabar asas demokrasi dan kedaulatan undang-undang, kepimpinan yang berani dan berprinsip adalah kunci utama kepada kelangsungan sebuah sistem kehakiman yang dihormati.
"Namun, kami percaya bahawa dengan kebijaksanaan, ketegasan dan integriti yang dimiliki oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara, institusi kehakiman negara akan terus gah berdiri tidak goyah ditiup angin dan tidak dihanyut ombak sebagai mercu tanda keadilan dan penjaga kepada kedaulatan undang-undang," katanya.
Beliau juga berkata badan kehakiman berperanan sebagai penjaga kepada Perlembagaan Persekutuan dan melindungi hak asasi setiap rakyat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami