Skip to main content

Dunia

Timor-Leste, Myanmar berminat jadi Pengerusi ASEAN 2029

Mohamad Hasan, berkata perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) pada Sabtu, dengan negara anggota bersetuju mengekalkan amalan sedia ada yang menetapkan giliran pengerusi berdasarkan susunan abjad. - Gambar BERNAMA
Mohamad Hasan, berkata perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) pada Sabtu, dengan negara anggota bersetuju mengekalkan amalan sedia ada yang menetapkan giliran pengerusi berdasarkan susunan abjad. - Gambar BERNAMA
Advertisement

MANILA: Timor-Leste dan Myanmar menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah serta Pengerusi ASEAN pada 2029, selepas giliran Singapura dan Thailand masing-masing pada 2027 dan 2028.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) pada Sabtu, dengan negara anggota bersetuju mengekalkan amalan sedia ada yang menetapkan giliran pengerusi berdasarkan susunan abjad.

Beliau berkata, berdasarkan aturan itu, selepas Singapura menjadi Pengerusi ASEAN pada 2027 dan Thailand pada 2028, giliran seterusnya adalah Timor-Leste, diikuti Vietnam.

Advertisement

"Walaupun tiada keputusan dibuat pada peringkat pegawai kanan, dalam mesyuarat ACC tadi, kita memutuskan untuk tidak menyimpang daripada amalan biasa.

"Amalan kita adalah mengikut susunan abjad," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di sini, Sabtu.

Advertisement

Bagaimanapun, Mohamad berkata, permohonan Myanmar masih boleh dipertimbangkan pada peringkat kemudian, selepas giliran Vietnam, sekiranya negara anggota bersetuju memberikan pertimbangan khas berdasarkan merit.

Katanya, jika ASEAN terus mengikut susunan abjad selepas Vietnam, Myanmar mungkin perlu menunggu terlalu lama untuk mendapat peluang memegang jawatan berkenaan.

"Selepas Timor-Leste, giliran Vietnam. Selepas Vietnam, kita boleh mempertimbangkannya.

"Jika tidak, sekiranya kita terus mengikut susunan abjad selepas Vietnam, Myanmar perlu menunggu terlalu lama,” katanya.

Beliau berkata, ASEAN boleh meneliti kemungkinan memberikan pengecualian daripada aturan sedia ada bagi membolehkan Myanmar menjadi pengerusi, namun perkara itu perlu diputuskan oleh negara anggota apabila tiba masanya.

"Buat masa ini, mengikut amalan biasa, kita akan terus mengikuti susunan abjad.

"Tahun depan Singapura, diikuti Thailand, kemudian Timor-Leste dan Vietnam. Hanya selepas itu kita boleh mempertimbangkan pengecualian berdasarkan merit," katanya.

Myanmar berdepan krisis politik sejak tentera merampas kuasa pada Februari 2021, sekali gus mendorong ASEAN memperkenalkan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi menamatkan keganasan dan membuka ruang kepada dialog.

Negara itu turut berdepan sekatan terhadap perwakilan politiknya dalam mesyuarat peringkat tinggi ASEAN susulan kegagalan pihak berkuasa tentera menunjukkan kemajuan bermakna dalam pelaksanaan konsensus berkenaan.

Sementara itu, Timor-Leste menjadi anggota ke-11 ASEAN pada Oktober 2025, sekali gus menandakan peluasan pertama keanggotaan blok serantau itu sejak Kemboja menyertainya pada 1999.

 

Must Watch Video

Advertisement