KUALA LUMPUR : Banjir akhir-akhir ini dan krisis COVID-19 yang berterusan telah mendedahkan keadaan Malaysia yang rapuh.

Malapetaka berpunca daripada bukan sahaja fenomena meteorologi, teknologi, atau biologi, tetapi kerentanan manusia jua. Ketidaksamarataan, jaringan keselamatan yang lemah dan tatakelola yang kurang cekap mewujudkan kerentanan sistemik dan memburukkan lagi segala kejutan kepada masyarakat kita.

Dengan ini, hujan dalam masa tiga hari sahaja mengakibatkan kerugian dianggarkan RM6.5 bilion dan 54 kematian, walau di Malaysia yang maju.

Beban bencana jatuh paling berat pada yang paling asfal. Mereka yang mengalami ketidaksamarataan risiko akan kekal terperangkap dalam kitaran ganas kerentanan membawa kepada domino bencana.

Bagi mereka yang sudah lebam akibat gangguan ekonomi dan komplikasi kesihatan jangka panjang COVID-19, malah dipukul semula oleh banjir, prospek mobiliti sosio-ekonomi mereka mungkin terjejas secara kekal.

Gerak balas kita terhadap dunia yang kompleks, berangkaian dan bergolak mestilah berpaksikan prinsip moral. Keadilan sosial memerlukan daya tahan (resilience).

Daya tahan ialah keupayaan untuk melantun daripada bencana, bahkan melantun ke hadapan.

Ia menjadi teras wacana global seperti Konsensus Cornwall oleh G7 dan Perlumbaan Daya Tahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021, serta dasar di Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Belanda.

Daya tahan Malaysia kepada pelbagai risiko masa sekarang dan depan patut dinilai semula. Ia tidak patut dijadikan hanya seperenam daripada slogan 6R (Resolve, Resilient, Restart, Recovery, Revitalize and Reform) kerajaan.

Saya menggesa Kerajaan membentuk Strategi Daya Tahan Negara.

Daya tahan wajib menjadi agenda persidangan khas Parlimen pada 20 Januari ini.


YUSMADI YUSOFF
Pengerusi & Pengasas, Rights Foundation