JOHOR BAHRU: Aspek keselamatan di negeri ini akan terus dimantapkan kerajaan Johor melalui pelbagai inisiatif dalam agenda 'Johor Selamat" selari dengan matlamat untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata bagi menjayakan agenda itu, perolehan skuter elektrik dan van balai polis bergerak serta pondok polis telah dinaik taraf dalam membantu pasukan polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekalkan keamanan di Johor.

Beliau berkata selain itu, PDRM juga akan terus bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia, agensi-agensi beruniform dan badan bukan kerajaan untuk meningkatkan lagi keselamatan negeri.

"Selain agensi keselamatan, empat pihak berkuasa tempatan (PBT) turut berperanan besar dalam membantu menjaga keselamatan awam untuk Greater Johor Bahru.

"Di bawah Inisiatif Bandar Pintar, setiap kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan Greater Johor Bahru sedang dan akan disambung ke sebuah Command Center yang akan memantau seluruh bandar raya ini termasuk kawasan-kawasan tumpuan," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, di sini, semalam.

Onn Hafiz berkata Command Center tersebut akan disambung terus kepada talian polis dalam usaha untuk mengurangkan kejadian kes jenayah, selain turut mengunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi melakukan proses cam muka serta cam kenderaan untuk memudahkan kerja-kerja siasatan dan aduan.

Beliau berkata tahap keselamatan yang tinggi akan menyediakan keadaan kondusif kepada pelabur dan pelancong dapat berlibur dengan tenang.

"Kesemua ini akan menjurus kepada peningkatan kewangan negeri untuk jangka masa panjang, yang akhirnya akan dimanfaatkan sendiri oleh Bangsa Johor," katanya.

-- BERNAMA