KUALA LUMPUR: Pemenang Anugerah Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, sambil menyifatkan beliau sebagai seorang wanita luar biasa yang penuh keanggunan, kebijaksanaan dan sifat belas kasihan.
Menerusi hantaran di Instagram, Michelle turut menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga.
“Saya amat berdukacita atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah. Kami menyampaikan ucapan takziah yang paling mendalam dan tulus kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga.
“Tun Dr Siti Hasmah sememangnya seorang wanita yang luar biasa. Seorang wanita yang memiliki keanggunan, kebijaksanaan dan sifat belas kasihan yang luar biasa, yang menyentuh hati seluruh negara. Kasih sayang dan perkongsian hidup yang anda berdua kongsi menjadi inspirasi kepada kita semua. Kami turut berduka bersama anda dalam saat kesedihan yang amat mendalam ini.
“Kami mendoakan agar anda dan keluarga diberikan ketenangan dan kekuatan dalam melalui waktu yang sukar ini. Semoga beliau bersemadi dengan tenang,” katanya.
Dalam hantaran sama, Michelle turut berkongsi gambar Dr Siti Hasmah sedang bermain biola, instrumen muzik yang cukup sinonim dengan Allahyarham.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.