KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berharap agenda pembaharuan dan transformasi agensi itu yang dimulakan kepimpinan terdahulu diteruskan bagi memastikan ia kekal relevan serta diyakini rakyat.
Beliau yang bakal menamatkan perkhidmatannya pada 13 Mei ini berkata, langkah itu perlu dilaksanakan secara berterusan kerana strategi memerangi rasuah sentiasa ditambah baik mengikut peredaran zaman.
“Jadi, transformasi ini adalah satu bentuk benda hidup. Sesiapa menjadi Ketua Pesuruhjaya, menjadi ketua kepada agensi ini, beliau perlu melihat kepada transformasi yang berterusan dan inilah yang saya buat.
“Kalau tidak ada pendekatan baharu, maka akan duduk di takuk lama. Rakyat akan menilai sama ada SPRM ini berkesan atau tidak,” katanya dalam podcast “Kolar Hitam Bukan Sekadar Operasi” yang disiarkan di YouTube rasmi SPRM hari ini.
Azam berkata, antara perubahan besar yang telah dilakukan dalam SPRM ialah selepas pengenalan Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang disifatkannya sebagai titik penting kepada pengukuhan undang-undang antirasuah negara.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memainkan peranan penting dalam memperkenalkan undang-undang berkenaan.
Menurut Azam, perundangan itu kemudian diperkasakan menerusi penggubalan Akta SPRM 2009 yang membawa transformasi besar kepada agensi berkenaan.
Selain itu, Azam menyifatkan kematian Teoh Beng Hock pada 2009 turut menjadi titik tolak kepada SPRM untuk melakukan perubahan drastik bagi memulihkan imej serta keyakinan orang ramai terhadap agensi berkenaan.
“Perubahan atau transformasi ini adalah sesuatu yang mengambil masa. Sebab itu pada zaman (Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM) Tan Sri Abu Kassim telah dibuat satu transformasi pada 2011 sehingga 2013 dan diteruskan hingga sekarang,” katanya.
Azam ketika mengulas mengenai corak kepimpinannya berkata ketegasan amat diperlukan dalam menerajui agensi penguatkuasaan bagi memastikan tiada pegawai terlibat dalam jenayah, rasuah atau pelanggaran disiplin bagi memastikan integriti organisasi sentiasa terpelihara.
“Kami tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pegawai sekiranya melakukan kesalahan jenayah, rasuah ataupun lain-lain jenayah dan juga melakukan kesalahan keterlaluan berkaitan salah laku ataupun disiplin,” katanya.
Azam ketika menyentuh mengenai rancangan selepas bersara setelah berkhidmat selama 42 tahun bersama agensi itu berkata, beliau bersedia untuk terus menyumbang pengalaman dan kepakarannya kepada negara.
“SPRM tetap akan saya perhatikan dari luar. Sampai masa kalau saya nak bersuara, saya akan bersuara juga untuk memberi pandangan yang baik ataupun pandangan membina,” katanya.
Pada 25 April lepas, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, berkuat kuasa 13 Mei.
-- BERNAMA