BATU PAHAT: Agensi dan badan-badan kebajikan diharap dapat membantu meringankan beban keluarga mangsa bunuh, Mila Sharmilah Samsusah atau dikenali sebagai Bella terutama dua anaknya yang berusia lima dan dua tahun.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu bertemu dengan waris mangsa bagi bertanyakan keperluan mereka selain memberikan sokongan moral.

"Kita akan fikirkan dan insya-Allah bantuan lain akan diusahakan sebab arwah ada dua anak yang masih kecil...jadi harap adalah agensi kebajikan atau agensi lain membantu meringankan beban mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kediaman dan memberikan sumbangan kepada keluarga arwah Bella di Taman Soga di sini hari ini.

Pada 24 Jan lepas, teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 25, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh wanita itu antara 11 malam, 14 Dis hingga 5.30 pagi, 15 Dis tahun lepas di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar, dan juga di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, kakak arwah Bella, Norhisham Samsusah, 36, berkata dua peguam telah menawarkan diri untuk menjadi peguam pemerhati dalam perbicaraan kes pembunuhan Bella yang bakal bermula 19 Feb ini.

Pada 19 Jan lepas, polis menemukan rangka manusia tidak lengkap di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani selepas dipandu arah oleh seorang daripada suspek utama kes kehilangan Bella.

Pada 14 Dis tahun lepas, Bella, 32, ibu tunggal dua anak itu, dilaporkan keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada 11.50 malam dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi berhampiran dan gagal dihubungi sejak itu.

-- BERNAMA