ALOR SETAR: Pengagihan benih padi sah (BPS) kepada pesawah dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi musim 2/2021 kini mencapai 86.4 peratus atau 102,644 beg dan aktiviti mengagihkannya dijangka selesai menjelang 4 Nov ini.

Pengerusi MADA Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata setakat 27 Okt lepas, sebanyak 130,388 beg BPS dipesan oleh pesawah melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

"Beberapa inisiatif dan tindakan proaktif telah dilaksanakan MADA bagi memastikan aktiviti penanaman tidak tergendala," katanya kepada pemberita selepas melawat Kilang Benih Padi Seri Merbok di Simpang Empat dekat sini pada Ahad.

Beliau berkata beberapa siri mesyuarat dan perbincangan bersama dengan pihak pengeluar BPS dan agensi terbabit secara langsung dalam pengeluaran BPS seperti Jabatan Pertanian Malaysia serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah diadakan pada 18 Ogos dan 17 Okt lepas.

"MADA juga melaksanakan pemantauan secara berkala di tiga peringkat pengeluaran BPS iaitu di peringkat pengeluar, pemborong, makmal Jabatan Pertanian Malaysia serta di peringkat PPK sendiri," katanya.

Ahmad Tarmizi turut menasihati pesawah agar menempah BPS menerusi PPK bagi mengelak daripada manipulasi harga oleh pihak yang tidak bertanggunggjawab.

"Harga runcit BPS yang ditetapkan ialah RM35 satu beg namun pihak kami mengesan terdapat peruncit yang mengambil kesempatan menjualnya pada harga melebihi RM40 satu beg.

"... kita kesal dengan apa yang berlaku, ada peruncit ambil kesempatan memanipulasi harga ketika pesawah memerlukan benih untuk memulakan penanaman padi bagi musim 2/2021," katanya.

Beliau berkata benih padi yang mendapat permintaan tinggi ialah varieti MR297 dan pesawah yang membuat pesanan kepada PPK diharap tidak menukar tempahan pada saat akhir bagi mengelak berlaku kelewatan proses menabur benih seperti yang dijadualkan pihak MADA.

-- BERNAMA