Skip to main content

Malaysia

Agong berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji

KUALA LUMPUR, 5 Jun -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberi tabik hormat kepada perarakan panji-panji semasa Istiadat Perarakan Panji-panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan, Presint 1, hari ini.  Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.   -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sultan Ibrahim berkenan memberi tabik hormat kepada perarakan panji-panji semasa Istiadat Perarakan Panji-panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan, Presint 1, Putrajaya, hari ini. -- fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong, bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda, di Dataran Pahlawan Negara, di sini.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim pada 8.45 pagi disambut dengan alunan lagu Negaraku, disusuli dengan 21 das tembakan kehormat oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.

Seri Paduka Baginda kemudian memeriksa perbarisan terdiri daripada 25 pegawai dan 510 anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Azlan Shah Baharom.

Keadaan cuaca dengan hujan renyai dan suhu kira-kira 26 darjah Celsius mengiringi perbarisan yang bermula pada 7.50 pagi, yang turut menampilkan acara gabungan Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Muhamad Nor Azizan Yahya dengan persembahan lagu-lagu patriotik.

Usai pemeriksaan perbarisan, gabungan Pancaragam Pusat ATM masuk membuka medan, sekali gus lima panji Yang di-Pertuan Agong diarak dengan penuh istiadat ketenteraan.

Lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong yang diarak ialah Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Panji-Panji ialah suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen/Kor daripada Perkhidmatan Tentera Darat, Perkhidmatan Tentera Laut dan Perkhidmatan Tentera Udara.

Istiadat diakhiri dengan laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan dan bacaan doa yang dipimpin Ketua Pengarah Agama Markas Tentera Darat Brigedier Jeneral Mohd Jihadi Ahmad.

Seri Paduka Baginda kemudian berangkat meninggalkan majlis itu pada 9.40 pagi. 

Turut hadir ke istiadat berkenaan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Istiadat tersebut diadakan sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.

Istiadat itu juga adalah untuk menzahirkan sumpah dan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara.

-- BERNAMA

 



 

 

Must Watch Video

Advertisement