KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) hari ini.

Ketibaan Seri Paduka disambut Yang Dipertua PEKAP Datuk Ab Rahim Abu Bakar di Dewan Perdana Felda, di sini pada kira-kira 11.10 pagi, dan berkesempatan beramah mesra dengan anak-anak Pahang yang hadir.

Majlis yang dihadiri kira-kira 1,500 jemputan itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera.

Ab Rahim berkata ini merupakan keberangkatan kali kedua Yang di-Pertuan Agong ke majlis sambutan itu selepas kali pertama tahun lepas.

"Sambutan ini, seperti mana yang kita tengok tadi, kita sudah mencapai sasaran kedatangan 1,500 tetamu, dan jemputan ini terdiri daripada anak-anak Pahang di ibu kota," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

PEKAP yang kini berusia 53 tahun merupakan sebuah persatuan yang ditubuhkan khas buat warga Pahang yang bermastautin di Kuala Lumpur bertujuan menjaga kebajikan dan merapatkan silaturrahim antara mereka.

-- BERNAMA