Skip to main content

Malaysia

Agong berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja Hari Polis ke-219

YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT MAJLIS SANTAPAN DIRAJA SEMPENA PERINGATAN HARI POLIS KE-219 TAHUN 2026_IG officialsultanibrahim
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dalam sembah ucapannya menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Seri Paduka Baginda berangkat ke majlis berkenaan. - Instagram @officialsultanibrahim
Advertisement

SUBANG JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke majlis santapan diraja sempena sambutan Hari Polis ke-219 di sini malam ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dalam sembah ucapannya menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Seri Paduka Baginda berangkat ke majlis berkenaan, yang disifatkannya sebagai penghormatan tertinggi kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata PDRM yang kini menginjak usia 219 tahun kekal teguh sebagai entiti utama dalam memelihara kedaulatan, keselamatan masyarakat dan kesejahteraan negara.

“Tanggal 25 Mac setiap tahun adalah tarikh bersejarah untuk mengenang perjuangan dan pengorbanan wira-wira pasukan yang gugur di medan bakti demi mempertahankan ibu pertiwi. Kita titipkan doa agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada,” katanya.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,  Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan barisan kepimpinan tertinggi PDRM.

Mohd Khalid turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan agensi sahabat atas sokongan berterusan dalam memperkasakan PDRM.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement