MALAYSIA
Agong bertemu Putin pada lawatan negara pertama

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan bersalaman dengan Presiden Rusia Vladimir Putin pada Majlis Sambutan Negara di Grand Kremlin Palace hari ini. - Foto BERNAMA
MOSCOW: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin pada majlis sambutan negara di Grand Kremlin Palace di sini, hari ini.
Sultan Ibrahim tiba di Kremlin pada kira-kira 3 petang sebelum berangkat ke St. George's Hall, dewan besar dihiasi tiang marmar putih dengan salutan emas.
Seri Paduka Baginda disambut Putin secara rasmi di dewan tersebut disusuli kedua-dua pemimpin bergerak ke Green Room bagi menghadiri mesyuarat rasmi.
Mengiringi Yang di-Pertuan Agong Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Pengiring, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamad Zin dan Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai.Bersama Putin pegawai-pegawai kanan Rusia termasuk Pembantu Presiden Rusia bagi Hal Ehwal Antarabangsa Yury Ushakov, Menteri Pembangunan Ekonomi Maxim Reshetnikov, Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Valery Falkov, Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Alexander Pankin dan Timbalan Menteri Pertahanan Alexander Fomin.
Usai mesyuarat, Sultan Ibrahim dan Putin bertukar-tukar cenderamata di St. Andrew's Hall dan menuju ke Granovitaya Chamber, bangunan sekular tertua terpelihara di Moscow yang telah wujud sejak abad ke-15, bagi menghadiri majlis santapan negara dianjurkan oleh presiden Rusia.
Terdahulu, sebelum berangkat ke majlis sambutan negara, Seri Paduka Baginda melawat Makam Pahlawan Tidak Dikenali di Alexander Garden berdekatan Kremlin Wall.
Moscow Kremlin, sebuah Tapak Warisan UNESCO, merupakan kompleks berkubu bersejarah yang terletak di tengah-tengah Moscow. Dibina sekitar abad ke-15, ia menempatkan kediaman rasmi presiden Rusia, katedral, muzium dan dewan termasuk Grand Kremlin Palace, tempat acara utama negara diadakan.
Sultan Ibrahim tiba semalam untuk lawatan negara sehingga 10 Ogos ini atas undangan Putin.
Ini merupakan lawatan negara pertama oleh Ketua Negara Malaysia ke Rusia yang dilihat sebagai kemuncak hubungan lima dekad kedua-dua negara yang terjalin pada 1967.
Lawatan itu juga menonjolkan kepentingan peranan institusi beraja Malaysia dalam meningkatkan hubungan diplomasi negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami