KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 15 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang baharu, di Istana Negara hari ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, istiadat tersebut turut dihadiri Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Kenyataan itu juga menyebut, Zambry turut menyerahkan surat pelantikan kepada bakal Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland, pada 3 Oktober 2023.

Senarai 16 Ketua Perwakilan Diplomatik:

Bakal Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad

Wisma Putra berkata, Norman yang merupakan graduan Bishop’s University, Kanada menyertai Kementerian Luar Negeri pada tahun 1992 dan pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala sejak tahun 2022.

“Beliau pernah bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Filipina (2019-2022), Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan (2014-2016) dan Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Amerika Syarikat (2008-2011). Beliau juga pernah ditugaskan di perwakilan diplomatik Malaysia di Bangkok, Thailand dan Buenos Aires, Argentina.

“Di Kementerian Luar, beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Setiausaha Bahagian Organisation of Islamic Cooperation (OIC) dan Kerjasama Serantau, Setiausaha Bahagian Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa Pengarah di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dan Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Komuniti Sosio-Budaya ASEAN, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia,” menurut kementerian lagi.


Bakal Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia, Datuk Cheong Loon Lai

Wisma Putra berkata, Cheong pernah menjawat jawatan Duta Besar Malaysia ke Hungary (2017- 2021), Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Ghana (2014-2017) dan Konsul Jeneral Malaysia di Hong Kong, China (2008-2010).

“Penempatan diplomatik beliau yang lain adalah di Moscow, Rusia dan Washington D.C., Amerika Syarikat. Di Kementerian Luar, beliau pernah ditugaskan sebagai Setiausaha Bahagian Ekonomi Pelbagai Hala dan Alam Sekitar; dan Setiausaha Bahagian Kerjasama Serantau, Sosial dan Budaya. Beliau juga pernah berkhidmat di Bahagian Asia Tengah dan Eropah; dan Bahagian Penerangan,” menurut kementerian lagi.


Bakal Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Datuk Nadzirah Osman

Sebelum pelantikan ini, Wisma Putra berkata, Nadzirah merupakan Duta Besar Malaysia ke Belanda sejak  2021.

“Beliau juga pernah bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Czech (2014- 2017) dan ditugaskan di perwakilan diplomatik Malaysia di London, United Kingdom dan Mexico City, Mexico.

“Di Kementerian Luar, beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Pelbagai Hala, Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Setiausaha Bahagian Ekonomi Pelbagai Hala dan Alam Sekitar. Beliau juga pernah ditugaskan di Bahagian Amerika dan Bahagian Eropah Timur,” menurut kementerian lagi.


Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Komanwel Australia, Sharina Abdullah

Menurut Wisma Putra, Sharina pernah ditugaskan sebagai Duta Besar Malaysia ke Switzerland (2017-2021) dan Duta Besar Malaysia ke Senegal (2014-2017). Penempatan luar negara beliau yang lain adalah  perwakilan diplomatik Malaysia di Paris, Perancis dan Bandar Seri Begawan, Brunei.

Di peringkat kementerian, Wisma Putra berkata beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah; dan Setiausaha Bahagian Penyelidikan, Jabatan Penyelidikan, Triti dan Undang-undang Antarabangsa, selain pernah ditugaskan di Bahagian Asia Tenggara dan Pasifik Selatan; dan Bahagian Amerika.


Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Muzafar Shah Mustafa

Wisma Putra berkata, Muzafar pernah menggalas tanggungjawab sebagai Duta Besar Malaysia ke Mexico sejak tahun 2018, dan Duta Besar Malaysia ke Venezuela (2016-2018) dan pernah ditugaskan di perwakilan Malaysia di Berlin, Jerman dan Baghdad, Iraq.

Di Kementerian Luar, beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Setiausaha Bahagian Kewangan, Timbalan Ketua Protokol dan Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Perancangan Dasar dan Strategik. Beliau juga pernah berkhidmat di Bahagian Asia Barat dan Jabatan ASEAN.


Bakal Duta Besar Malaysia ke Belgium, Datuk Mohd Khalid Abbasi Ab Razak

Menurut kenyataan tersebut, Mohd Khalid merupakan Duta Besar Malaysia ke Argentina (2017-2020), Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi (2011-2015) dan Konsul Jeneral Malaysia di Karachi, Pakistan (2008-2011).

Selain itu, beliau juga pernah bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, Republik Korea. Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Asia Barat dan juga pernah ditugaskan di Bahagian Asia Tenggara, Sekretariat Kebangsaan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Jabatan ASEAN dan Bahagian Ekonomi.


Bakal Duta Besar Malaysia ke Belanda, Roseli Abdul

Sementara itu, Roseli pula pernah menjawat jawatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan (2016- 2021) dan Konsul Jeneral Malaysia di Kunming, Republik Rakyat China (2008-2012). Penempatan luar negara beliau yang lain adalah di Jakarta, Indonesia; Islamabad, Pakistan dan New York, AS (Konsulat Jeneral).

“Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Bahagian OIC, D8 dan Pertubuhan Khas dan Kerjasama Selatan-Selatan dan pernah ditugaskan juga di Bahagian Asia Tenggara,” menurut kenyataan itu lagi.


Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Rus Shazila Osman

Wisma Putra berkata, Rus Shazila pernah ditugaskan di perwakilan Malaysia di Berlin, Jerman dan Berne, Switzerland, manakala di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Bahagian Kewangan dan Setiausaha Bahagian OIC dan Kerjasama Serantau.

Selain itu, Rus Shazila juga pernah ditugaskan di Bahagian Pembangunan, Bahagian Konsular dan Jabatan Hal Ehwal Wilayah dan Maritim.


Bakal Duta Besar Malaysia ke Ireland, Wan Aznainizam Yusri Wan Abdul Rashid

“Penempatan luar negeri beliau sebelum ini adalah di perwakilan diplomatik Malaysia di New Delhi, India; Tokyo, Jepun dan Geneva, Switzerland (Perutusan Tetap Malaysia ke PBB di Geneva).

“Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha Bahagian Afrika, Setiausaha Bahagian Kewangan dan Pegawai Khas kepada Ketua Setiausaha. Beliau juga pernah ditugaskan di Bahagian Politik Pelbagai Hala, Bahagian Kerjasama Serantau dan Ekonomi Pelbagai Hala; dan Bahagian Konsular,” kata Wisma Putra.


Bakal Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan, Mohd Suhaimi Ahmad Tajuddin

Sementara itu, Wisma Putra berkata, penempatan luar negara Mohd Suhaimi sebelum ini adalah di New York, Amerika Syarikat (Perutusan Tetap Malaysia ke PBB); Washington D.C., Amerika Syarikat dan Singapura.

Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Pengarah Pusat Pemerkasaan Kompetensi, IDFR dan Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia. Beliau juga pernah ditugaskan di Jabatan Hal Ehwal Maritim, Bahagian Asia Tenggara dan Jabatan ASEAN.


Bakal Duta Besar Malaysia ke Mexico, Jamal Sharifuddin Johan

Wisma Putra berkata, Jamal Sharifuddin pernah ditugaskan di perwakilan diplomatik Malaysia di Singapura; New York, Amerika Syarikat (Perutusan Tetap Malaysia ke PBB); Pyongyang, Republik Demokratik Rakyat Korea dan Berne, Switzerland.

Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Hubungan Luar ASEAN, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia dan ditugaskan di Bahagian Politik, Keselamatan dan Pelucutan Senjata; dan Bahagian Asia Tenggara.


Bakal Duta Besar Malaysia Cuba, Muhammad Radzi Jamaludin

Sementara itu, Muhammad Radzi pula telah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Protokol (Keistimewaan dan Kekebalan), Jabatan Protokol dan Konsular sejak tahun 2022.

“Beliau pernah ditugaskan di perwakilan diplomatik Malaysia di Singapura, Ottawa, Kanada, Berlin, Jerman, Santiago, Chile dan Abuja, Nigeria. Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha Bahagian Konsular dan pernah ditugaskan di Bahagian Eropah, Bahagian Asia Barat dan Bahagian Asia Tenggara,” kata kementerian lagi.


Bakal Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Ahmad Kamrizamil Mohd Riza

Sebelum pelantikan ini, Wisma Putra berkata, Ahmad Kamrizamil pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian OIC dan Kerjasama Serantau sejak tahun 2019.

“Penempatan luar negara beliau sebelum ini adalah di perwakilan diplomatik Malaysia di Buenos Aires, Argentina; Dakar, Senegal; dan Manama, Bahrain.

“Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Pentadbiran dan Keselamatan, dan ditugaskan di Jabatan Penerangan dan Diplomasi Awam, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, dan Bahagian Asia Timur dan Asia Selatan,” menurut kenyataan itu lagi.


Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Papua New Guinea, Hamizan Hashim

Wisma Putra berkata, Hamizan sebelum ini merupakan Pengarah Pusat Kepimpinan, Perundingan dan Diplomasi Awam, IDFR sejak tahun 2019.

Sebelum ini, kata kementerian, beliau pernah ditugaskan di perwakilan diplomatik Malaysia di Suva, Fiji; Vienna, Austria dan Dhaka, Bangladesh. Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah bertugas di Bahagian Keselamatan Pelbagai Hala, Bahagian Perancangan Dasar dan Strategik, Bahagian Asia Tenggara dan Bahagian Eropah Barat.


Bakal Duta Besar Malaysia ke Fiji, Nor’Azam Mohd Idrus

Nor’Azam pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Protokol (Istiadat dan Keraian), Jabatan Protokol dan Konsular. Perkhidmatan diplomatik beliau yang lain termasuk di perwakilan diplomatik Malaysia di Tokyo, Jepun; New Delhi, India; Suva, Fiji; dan Vienna, Austria.

Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah berkhidmat di Bahagian Cambodia-Laos-Myanmar-Vietnam (CLMV) dan Oceania dan Bahagian Amerika.


Bakal Duta Besar Malaysia ke Itali, Zahid Rastam

Wisma Putra berkata, Sebelum pelantikan ini, Zahid merupakan Timbalan Ketua Perwakilan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, United Kingdom sejak tahun 2020.

“Penempatan luar negara beliau yang lain adalah di perwakilan diplomatik Malaysia di Geneva, Switzerland (Perutusan Tetap Malaysia ke PBB di Geneva); Manila, Filipina dan New York, Amerika Syarikat (Perutusan Tetap Malaysia ke PBB).

“Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah ditugaskan di Bahagian Keselamatan Pelbagai Hala, Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi, IDFR dan Bahagian Politik Pelbagai Hala,” menurut kenyataan itu lagi.