KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu yang telah mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira nasihat Perdana Menteri dan Premier Sarawak serta agensi-agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan berkenaan.
"Langkah-langkah yang perlu secara lebih berkesan akan diambil bagi melindungi kesihatan serta kebajikan penduduk yang terjejas.
"Kerajaan akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan memastikan segala tindakan yang diperlukan dilaksana dengan segera, termasuk langkah mitigasi serta penyampaian maklumat dan nasihat kesihatan kepada orang ramai," jelas kenyataan itu.
Kualiti udara di Serian, Sarawak terus berada pada tahap bahaya apabila stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kawasan itu merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 518, setakat pagi ini.
Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Kuching turut mencatatkan bacaan pada tahap bahaya iaitu 310.