KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat untuk menghadap dan menyerahkan memorandum kepada baginda di Istana Negara.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa itu yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Menurut Khalid berkata, meskipun tarikh menghadap belum ditetapkan, namun beliau yakin perkara itu akan ditetapkan dengan kadar segera bagi membolehkan memorandum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Kesan buruk darurat semakin ketara hari ke hari. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Merayu Penamatan Darurat, saya mengucapkan jutaan terima kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong.

"Patik-patik semua menjunjung kasih di atas kesediaan Yang di-Pertuan Agong bertemu kami," jelasnya lagi.

Khalid telah menerima sepucuk surat dari Istana Negara berhubung perkenan Al-Sultan Abdullah hari ini.

Surat itu antara lain menyatakan bahawa baginda telah berkenan untuk menghadap jawatankuasa itu bagi menyerahkan memorandum pada tarikh dan waktu yang akan ditentukan kemudian.

Pada Selasa lalu, jawatankuasa berkenaan hadir ke Istana Negara bagi membuat permohonan agar Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain Khalid, turut hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.