MALAYSIA
Agong, Permaisuri berangkat ke istiadat perbarisan Sambutan Hari Pahlawan

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke istiadat perbarisan bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan 2025. - Foto fail/Istana Negara
PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke istiadat perbarisan bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan 2025 di Dataran Pahlawan di sini.
Istiadat sambutan yang dinaungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkonsepkan perbarisan statik melibatkan empat detasemen terdiri daripada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).
Acara dimulakan dengan persembahan lagu Negaraku, diiringi 21 das tembakan meriam yang disempurnakan Mej Hafizan Mat Ghani daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).
Sultan Ibrahim kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama.Perbarisan Hari Pahlawan hari ini melibatkan 18 pegawai dan 685 anggota lain-lain pangkat daripada PDRM dan ATM yang diketuai oleh Superitendan Mohamad Ridzuan Roslan daripada PDRM.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar turut menghadiri istiadat berkenaan.
Istiadat kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dikenali sebagai last post dengan menurunkan Jalur Gemilang dan semua tetamu yang hadir berdiri memberikan tabik hormat semasa Jalur Gemilang diturunkan.
Pengisian istiadat diteruskan dengan persembahan deklamasi sajak bertajuk "Darah Yang Terpercik di Baju" yang disampaikan oleh Detektif Sarjan Ardiansyah Wayang daripada PDRM dan Staf Sarjan Siti Nur Aini Jasni daripada ATM.
Sajak itu mengisahkan tragedi serangan hendap oleh pengganas komunis terhadap konvoi pasukan ATM yang membawa pesakit dalam perjalanan dari Baling, Kedah ke Pengkalan Hulu, Perak pada 20 Julai 1979.
Pertempuran berdarah itu telah mengorbankan tiga anggota ATM, iaitu Koperal Ramli Abdul Rashid, Trooper Azmi Rahman dan Trooper Abu Hassan Syeikh Daud.
Istiadat diteruskan dengan persembahan pantomim khas bertajuk "Zabri, Pejuang Sang Saka Biru" oleh PDRM, arahan Komander PGA Briged Tengah SAC Hakemal Hawari, yang membawa penonton menyaksikan kisah perwira legenda Komando VAT69 PDRM ASP Mohd Zabri Abdul Hamid.
Kisah perjuangan Mohd Zabri yang terkenal sebagai legenda Kerambit Kembar 'dihidupkan semula' selama kira-kira 15 minit itu dilakonkan oleh 142 pegawai dan anggota PDRM, dengan disusuli video menggunakan 80 peratus teknologi kecerdasan buatan (AI) hasil kreativiti pasukan produksi PDRM untuk tujuan ilustrasi berdasarkan kisah benar.
Pantomim itu berkisarkan Allahyarham Mohd Zabri yang terkorban dalam tragedi serangan hendap pengganas komunis pada 1975.
Mohd Zabri yang dalam misi yang mengejar dan menyekat pengganas dari cuba melarikan diri ke sempadan, terpijak jerangkap samar.
Jerangkap samar itu menyebabkan pergelangan buku lali kanan sehingga paras kasut but yang dipakainya putus, dan Mohd Zabri kehilangan banyak darah.
Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, Mohd Zabri sempat menyampaikan amanat kepada anak buahnya untuk meneruskan perjuangan memburu petualang negara dan menghancurkan mereka, biarpun dirinya sudah tiada lagi.
Istiadat diteruskan dengan tiupan Paluan Fajar, Jalur Gemilang dinaikkan sebagai tanda memberi semarak kepada pahlawan untuk terus bangkit berjuang dalam mempertahankan kedaulatan serta keamanan negara.
Sambutan Hari Pahlawan yang diraikan sejak 31 Julai 1960 itu simbol penghargaan serta pengiktirafan negara terhadap jasa, pengorbanan dan keberanian pegawai, anggota PDRM dan ATM, sama ada yang telah gugur atau masih hidup dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara tercinta.
Istiadat itu juga sebagai menzahirkan lambang ketaatsetiaan, kemegahan dan semangat yang tidak berbelah bahagi oleh pasukan PDRM dan ATM terhadap raja serta negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami