KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat menyaksikan Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023.

Seri Paduka Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah yang turut berangkat ke istiadat tersebut.

Keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke istiadat tersebut mencatatkam sejarah tersendiri kerana buat pertama kalinya Sambutan Hari Polis dihadiri Yang di-Pertuan Agong dan Permaisurinya.

Turut hadir dalam istiadat berkenaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebaik Seri Paduka Baginda berangkat tiba, sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, diiringi Hormat Diraja yang turut melibatkan Fly Pass oleh Pasukan Gerakan Udara.

Pegawai Pemerintah Baris kemudian melapor perbarisan kepada Baginda sebelum Al-Sultan Abdullah berkenan memeriksa perbarisan, ditemani Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Seramai 543 pegawai kanan dan pegawai rendah polis dari pelbagai jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyertai perbarisan sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 itu.

Istiadat kemudian diteruskan dengan perbarisan berjalan lalu dalam cepat masa oleh Kawalan Kehormatan dan semua kontinjen.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani kemudiannya menyampaikan sembah ucapan menjunjung kasih selepas perbarisan berjalan lalu selesai.

Pantomim Op Daulat, berkisarkan peringatan 10 tahun serangan di Kampung Tanduo, Lahad Datu dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda dan hadirin selepas selesai ucapan.