ROMPIN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Penutup dan Pengurniaan Hadiah Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2023 di sini hari ini.

Berangkat sama ke majlis itu Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Leong Yu Man; Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman Datuk Idros Yahaya dan Pengurus Besar Tourism Pahang Kamaruddin Ibrahim.

RPBIC ialah acara sukan memancing ikan layaran dengan konsep "tangkap dan lepas" dan merupakan sebahagian daripada produk pelancongan daerah ini, memandangkan spesies ikan itu banyak terdapat di perairan Kuala Rompin pada musim penghijrahan aktif antara Mac hingga Oktober setiap tahun.

RPBIC mula diadakan pada 2004 dan untuk tahun ini, ia berlangsung selama tiga hari bermula 6 Okt lepas melibatkan penyertaan 13 pasukan dengan 49 peserta termasuk dari Jepun dan Singapura.

Pada kejohanan itu, tiga kumpulan dari Malaysia mengungguli kedudukan teratas iaitu Team Xzoga selaku juara disusuli Lemax Pro Team dan LXF-ROH masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga.

Pasukan dari Jepun Mutapesca Sammy menduduki tempat keempat manakala tempat kelima ialah Kohaku X Trident yang dianggotai peserta Singapura dan Malaysia.

RPBIC 2023 menawarkan hadiah wang tunai dan peralatan memancing yang keseluruhannya bernilai lebih RM71,000.

-- BERNAMA