Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua rakyat Malaysia agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang akan bermula pada 18 hingga 31 Mac 2020.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan bahawa rakyat perlu menghadapi situasi ini dengan penuh tenang dan tidak cemas bagi membantu Kerajaan serta pihak berkuasa membendung penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Seri Paduka Baginda menggesa rakyat agar tidak mengambil sikap mudah dan sambil lewa terhadap Perintah Kawalan Pergerakan ini.

“Rakyat turut diminta untuk mengikuti panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama terhadap kesejahteraan dan keselamatan keluarga, masyarakat dan negara yang kita cintai ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, baginda juga amat prihatin dengan perkembangan terkini berikutan 125 kes terbaharu semalam dengan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 553 kes.

“Seri Paduka Baginda amat memandang serius terhadap jumlah peningkatan jangkitan baharu di negara ini dan menaruh penuh kepercayaan kepada Kerajaan dan semua pihak berkuasa dalam menjalankan tanggungjawab membendung penularan COVID-19,” katanya.

Katanya, Seri Paduka Baginda sedar bahawa rakyat mungkin merasakan bahawa tindakan yang diambil oleh Kerajaan ini menimbulkan kesulitan untuk menjalani kehidupan seharian.

“Namun, kita perlu faham dan bersabar kerana Kerajaan tidak boleh menunggu sehingga situasi ini menjadi lebih meruncing untuk mengambil tindakan yang drastik.

“Selaku Ketua Negara, Seri Paduka Baginda turut menyeru supaya rakyat Malaysia, dari pelbagai bangsa dan agama, bersatu dan bersama berganding bahu memainkan peranan membantu kerajaan dalam menangani penularan COVID-19 di negara ini.

“Seri Paduka Baginda yakin dengan semangat kental, keprihatinan dan kerjasama yang rakyat berikan, kita mampu membendung penularan wabak ini dengan cepat dan berkesan,” kata Ahmad Fadil.

Baginda turut menggesa rakyat menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia untuk sebarang keraguan serta pertanyaan untuk mengelak penyebaran berita dan maklumat palsu yang boleh mencetuskan panik dan kekeliruan di kalangan rakyat.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan penghargaaan dan terima kasih kepada kerajaan, di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan agensi-agensi Kerajaan serta kepada wira-wira yang tidak didendang, khususnya semua petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang telah mengorbankan masa bertungkus lumus di atas usaha-usaha dan tindakan untuk memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berkesan.

Justeru, baginda menyeru agar rakyat bersama-sama berdoa memohon ihsan Allah SWT supaya usaha-usaha kita ini dirahmati dan diberkati agar situasi COVID-19 dapat ditangani dan berakhir dengan segera.