KUALA LUMPUR:Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga legenda bola sepak negara, Datuk Namat Abdullah, yang meninggal dunia hari ini.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarganya sabar dan tabah menghadapi suasana sedih serta pilu ini.

"Seri Paduka Baginda amat menghargai jasa Allahyarham kepada negara serta khidmat bakti beliau dalam mengharumkan nama Malaysia di persada bola sepak dunia.

"Al-Sultan Abdullah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada arena bola sepak negara.

"Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin," menurut kenyataan itu.

Allahyarham berusia 74 tahun yang menderita barah usus menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5.30 petang tadi di kediaman anaknya di Kamunting, Perak.

Dilahirkan di Butterworth, Pulau Pinang, Allahyarham menjadi antara pemain bola sepak negara yang disegani atas sumbangan besarnya termasuk membantu Harimau Malaya ke Sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972.

Antara rakan sepasukan Allahyarham ialah mendiang Datuk M Chandran; Datuk Soh Chin Aun; Wong Kam Fook; Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusoff dan adik beliau Shaharudin Abdullah.

Di zaman gemilangnya, bekas kapten skuad bola sepak kebangsaan ini terkenal di rantau Asia sebagai pemain pertahanan yang dihormati pasukan lawan.

Allahyarham memulakan karier sebagai pemain Pulau Pinang pada tahun 1965 dan pertama kali mewakili Malaysia pada Pesta Bola Sepak Merdeka 1968.

Selain mewakili Pulau Pinang dari tahun 1965 hingga 1975, beliau telah mewakili negara sebanyak 115 kali dengan yang terakhir ialah pada Kejohanan Ulang Tahun Jakarta 1975.