KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas khidmat bakti dan jasa yang dicurahkan dalam memikul amanah serta tanggungjawab dalam memelihara keamanan negara dan rakyat Malaysia.

Seri Paduka turut menyanjungi dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pesara PDRM atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira penat lelah, masa dan situasi.

"Selamat menyambut Hari Polis ke-216 kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk veteran dan pesara polis.

"Semoga warga PDRM akan terus kental dan bersemangat memberi khidmat demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan negara," titah Al-Sultan Abdullah dalam kenyataan yang dikongsi menerusi akaun Facebook Istana Negara hari ini.

Dalam hantaran sama, Baginda turut mendoakan agar seluruh warga PDRM dirahmati dan dilindungi Allah SWT daripada segala bentuk ancaman dan musibah serta para pahlawan negara yang telah terkorban ditempatkan bersama para solihin.

Baginda turut menyeru agar rakyat mengamalkan kehidupan yang harmoni, mematuhi undang-undang, bekerjasama dan menjalinkan hubungan erat dengan pasukan polis dalam membanteras sebarang salah laku jenayah dalam komuniti masing-masing.

-- BERNAMA