KUANTAN: Keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat di Pahang.

Bagi warga emas, Jaariah Ahmad, dia sanggup menunggu Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong demi memenuhi hajat cucu perempuannya.

Menurut suri rumah berusia 67 tahun itu, cucunya Nurul Auni Batrisyia Mohd Sahiful, 10, teringin untuk menatap wajah Seri Paduka Baginda berdua secara dekat.

Kongsi Jaariah lagi, walaupun kudratnya tidak sekuat dahulu, namun digagahinya juga berjalan kaki kira-kira 1 kilometer (km) sebelum tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini.

“Alhamdulillah diizinkan Allah. Walaupun jauh, saya berjalan dari masjid (tempat parkir kereta) nak masuk sini. Alhamdulillah tercapai hajat cucu saya.

“Dah beberapa hari dia (beritahu) teringin nak tengok Agong, dan tercapai hajat dia,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Udara TUDM, di sini, pada Selasa.

Berkongsi lanjut, Jaariah yang tinggal di Pantai Sepat, bertolak seawal jam 8 pagi bersama anak perempuannya, Nurul Khamilah Md Rashid, 31, kerana keterujaan cucu kesayangannya itu.

Malah lebih menggembirakan, mereka dapat duduk di antara barisan depan bagi menyaksikan keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua.

“Walaupun jauh berjalan tadi, kalau ikutkan makcik tak larat berjalan dari masjid sampai ke simpang tetapi Tuhan izinkan.

“Anak makcik tanya, ‘emak laratkah berjalan?’ InsyaAllah kerana cucu makcik sanggup berjalan,” ujarnya dengan nada gembira.

Mengimbau kenangan bersama Al-Sultan Abdullah, Jaariah berkata dia juga berpeluang hadir ketika Seri Paduka Baginda berangkat ke Istana Negara selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2019.

Selain itu, dia yang berpeluang bersua muka beberapa kali bersama Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menyifatkan pasangan diraja itu sebagai permata rakyat Pahang.

“Terlalu gembira bila (Seri Paduka Baginda) mahu pulang ke Pahang. Sebab Baginda berdua memang suka bersama rakyat khususnya ketika musim banjir,” tambahnya.

Sementara itu, guru disiplin, Thiagaselan Muniam, 48, berkata sejak minggu lalu lagi murid-murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Indera Mahkota tidak sabar menantikan hari penuh bersejarah ini.

Katanya, walaupun cuaca panas, 40 murid darjah 6 dari sekolah berkenaan tetap bersemangat menantikan keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

“Ini menjadi peluang kepada murid-murid melihat sendiri Raja dan Permaisuri kita serta adat-adat (Diraja). Mungkin sebelum ini adat-adat ini mereka hanya baca di dalam buku teks.

“Tetapi hari ini mereka secara visual (langsung) termasuk persalinan Tuanku dan adat istiadat, dan ini mungkin memberi semangat untuk mereka,” ujarnya.

Terdahulu, ribuan rakyat Pahang hadir menyaksikan keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah, yang tiba menggunakan pesawat khas sekitar jam 11.58 pagi.

Istiadat Keberangkatan Pulang diadakan sempena tamat tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Selain keberangkatan pulang di Pangkalan Udara TUDM di sini, Seri Paduka Baginda berdua turut melalui beberapa jalan di sekitar bandar Kuantan bagi menyantuni rakyat.

Al-Sultan Abdullah, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan berkenaan pada 6 Januari 2019.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan berangkat ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-17, pada 31 Januari (esok).