JOHOR BAHRU: Ahli keluarga Mila Sharmilah Samsusah atau Bella dinasihat agar menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbentuk provokasi mahupun andaian yang boleh mengganggu prosiding kes itu.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata suspek kes itu, Mohammad Haikal Mahfuz, 25, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Batu Pahat pada 24 Jan lepas dan pihak keluarga seharusnya membiarkan proses perundangan berjalan tanpa sebarang tindakan campur tangan.

"Biar mahkamah yang buat keputusan... kita jangan adili sesiapa sebagai orang awam, kita ada mahkamah yang mulia, perbicaraan akan berlangsung dan setiap yang terlibat akan diberi peluang untuk membela diri," katanya selepas melancarkan Misi Jelajah Ramadan MyFundAction di Masjid Jamek Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan kakak Bella yang dilihat lantang memberikan komen di laman Facebook berkaitan kes itu.

Kumar berkata polis juga akan meneliti hantaran dimuat naik oleh ahli keluarga Bella di media sosial sebelum memberi ulasan lanjut.

Mohammad Haikal, yang juga teman lelaki Bella, telah didakwa membunuh wanita berusia 32 itu di Tongkang Pechah di sini pada Disember tahun lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh, yang bekerja sebagai posmen, didakwa melakukan perbuatan itu antara 11 malam 14 Dis hingga 5.30 pagi 15 Dis tahun lepas di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar dan juga di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah di Batu Pahat.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA